Bantu Fatehah harungi fasa peralihan hidup
Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menggesa pihak berwajib untuk membantu Fatehah Mustapa dalam mengharugi fasa peralihan hidup selepas ratu berbasikal trek negara itu mengumumkan persaraannya daripada arena sukan negara, kelmarin.
Pelumba dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu percaya keputusan dibuat Fatehah untuk tidak lagi meneruskan kariernya dalam sukan berbasikal negara bukan satu keputusan yang mudah.
“Bayangkan untuk seorang atlet elit seperti Fatehah yang sudah meluangkan masa untuk sukan, berlatih pagi dan petang, kena hadapi kecederaan, travel (merantau) tinggalkan keluarga, rakan serta kehidupan normal di Malaysia. Ia satu kehidupan yang berbeza.
“Kebanyakan atlet elit yang melalui fasa persaraan ini, mereka perlu menghadapi peralihan hidup yang ketara. Ramai yang gagal, tidak boleh survive (bertahan) dan bukan semua orang boleh melalui tempoh peralihan ini.
“Kalau kita baca kertas kajian, banyak study mengatakan peratusan atlet elit akhirnya menghadapi kemurungan, membunuh diri dan tiada tempat berteduh. Dengan itu saya harap dan seru pihak berwajib di luar sana agar tampil beri bantuan kepada Fatehah,” katanya dalam rakaman IGTV @azizulhasniawang, hari ini.
Azizulhasni percaya perkara pertama yang Fatehah perlukan untuk menghadapi fasa peralihan ketara ini adalah dengan peluang pekerjaan untuk memastikan beliau dapat meneruskan kehidupan seharian.
Beliau yang berhijrah ke Melbourne bersama Fatehah sejak 2007 untuk berlatih bersama jurulatih, John Beasley turut berpesan kepada atlet itu untuk sentiasa berhubung dengan mereka jika memerlukan sebarang bantuan.
Azizulhasni berharap jasa dan pengorbanan didedikasikan Fatehah untuk sukan tanah air tidak dilupakan rakyat negara ini.
Sepanjang 17 tahun berkecimpung dalam arena sukan berbasikal negara, Fatehah meraih pelbagai kejayaan termasuk dua pingat emas Kejohanan Asia (ACC) serta tiga pingat emas Sukan SEA.
Penampilannya di Sukan Asia tidak kurang hebat apabila menjadi atlet wanita pertama dalam sukan berbasikal negara yang berjaya meraih pingat selepas memenangi perak pada 2014 di Incheon, dalam acara keirin.
— BERNAMA