Bank Rakyat terus perkukuh jenama sebagai bank lestari
BANK RAKYAT melancarkan Perjalanan Baharu Bank Rakyat dalam Memacu Kelestarian untuk Komuniti, Negara Bangsa dan Planet bagi mengukuhkan penjenamaan sebagai Bank Lestari.
Inisiatif terbaharu ini merupakan salah satu matlmat di bawah pelan hala tuju Bank Rakyat 2025 bagi mengukuhkan pertumbuhannya agar kekal relevan pada masa hadapan serta mencapai kemajuan yang telah disasarkan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.
Dalam mengintegrasikan Pelan Kelangsungan Bank Rakyat, visi baharu Bank Rakyat “Untuk Komuniti, Negara dan Planet”, yang memperlihatkan komitmen bank untuk berkhidmat kepada komuniti, membantu kemajuan negara bangsa dan untuk melindungi planet.
Misi baharu Bank Rakyat ‘Untuk menjadi pemangkin global yang diikhtiraf untuk pembangunan negara melalui rangkaian perkhidmatan kewangan, berlandaskan nilai Islam, keharmonian masyarakat dan kelestarian’.
Penjenamaan sebagai Bank Lestari ini mencerminkan prospek Bank pada tahun 2025 berdasarkan aspirasi 3P iaitu manusia (People), planet (Planet) dan kemajuan (Progress).
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, inisiatif diadakan agar dapat mengintegrasikan kelestarian dalam strategi perniagaan bank yang bukan sahaja untuk meraih keuntungan tetapi juga pembangunan sosial dan kemakmuran bersama seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020.
Matlamat kita adalah untuk membangunkan satu sistem perbankan Islam yang efisien, progresif dan komprehensif yang mampu memberi sumbangan kepada keseluruhan proses pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara bangsa dan planet, katanya.
Sementara itu menurut Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso, tumpuan utama dalam perjalanan baharu ini adalah bagi mempersiapkan bank dalam menghadapi cabaran terhadap transformasi dalam landskap kewangan Islam yang mana perlu bersepadu dalam arus perdana sistem kewangan global.
“Bank Rakyat akan membawa ekosistem koperasi yang unik dibantu oleh sumber kewangan yang kukuh dan penyataan misi, sebagai tunjang hadapan bagi memacu impak untuk pengiktirafan global,” ujar Noripah.
Transformasi di Bank Rakyat bersama-sama dengan pakar perunding telah mengadakan lebih daripada 300 sesi perbincangan dengan setiap peringkat bank dan pihak berkepentingan luar untuk membangunkan satu program pelaksanaan yang diterjemahkan kepada enam cetak biru.
Perbincangan ini melibatkan pengumpulan maklumat daripada pihak berkepentingan termasuk ekosistem dalam Kementerian Pembangunan Keusahawanan, 52 sesi program pembangunan kepimpinan, sesi dengan ahli utama untuk input ke atas cetak biru, rancangan komunikasi BR25 dan 10 townhall dan jerayawara wilayah.
Pelan lima tahun ini akan menyepadukan lima teras iaitu pelanggan dan ahli digitalisasi dan analitik, kolaboratif dan kerjasama, warga kerja dan kelestarian.
Teras ini dijangka dapat memberi hasil yang diingini ke arah menawarkan kadar keuntungan yang paling kompetitif kepada pelanggan Bank Rakyat.
Noripah berkata, pada masa hadapan bank yang boleh memberikan masa hadapan yang cerah kepada generasi millenium dan generasi X akan kekal cerah dan relevan. Pelanggan generasi ini akan melakukan transaksi perbankan di mana-mana sahaja tapi bukan di bank.
Dengan itu Bank Rakyat telah mengenal pasti enam cetak biru iaitu Pendigitalan, Pengalaman Terbaik Pelanggan, Modal Insan, Pusat Rekacipta Nilai SME, Kelestarian dan Kepemimpinan Shariah yang akan menjadi kunci utama dalam merealisasikan aspirasi BR25.
Cetak biru pertama iaitu pendigitalan adalah bagi menghadapi era digital bank rakyat akan memanfaatkan teknologi dan data untuk lebih memahami keperluan pelanggan alaf ini.
Rundingan untuk bekerjasama dengan syarikat teknologi akan diperhebat pada tahun 2020.
Cetak biru kedua merupakan pengalaman terbaik pelanggan adalah menerusi jangkaan pelanggan dan masa depan dan ini akan menjadi panduan ke arah menyampaikan pengalaman terbaik dengan hasil yang paling berkesan.
Cetak Biru Modal Insan pula akan menjadi panduan bagi membina budaya berprestasi tinggi untuk menghasilkan pasukan berprestasi tinggi berdasarkan keperluan bagi mencapai pencapaian dalam rangka tindakan ini untuk lima tahun akan datang.
Bank akan memberi keutamaan kepada pengambilan bakat yang paling relevan, menambah serta memperkasakan kemahiran warga kerja sedia ada.
Cetak biru keempat pula menjadikan Bank Rakyat sebagai agensi Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menjadikan pertumbuhan industri kecil sederhana dengan kerjasama kementerian, komuniti, koperasi dan organisasi swasta dan sekali gus memastikan visi kemakmuran bersama dapat dicapai.
Bagi cetak biru kelestarian Bank Rakyat merealisasikan sasaran pembangunan yang lestari melalui penubuhan pusat kecemerlangan kewangan lestari.
Pusat ini akan didedikasikan untuk menjalankan penyelidikan emperikal berasaskan sisio ekonomi yang bakal mempertingkatkan peranan dan sumbangan Bank Rakyat kepada pembangunan negara.
Kepemimpinan Shariah pula merupakan cetak biru yang akan menerapkan nilai perkongsian ini dengan kemanusiaan yang juga menyasarkan kepimpinan Bank Rakyat di ruang kewangan Islam antarabangsa.