Bank Rakyat tersenarai dalam Koperasi Premier Malaysia 2021
BANK Rakyat telah tersenarai dalam kelompok Koperasi Premier Malaysia 2021 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pengiktirafan ini dianugerahkan berdasarkan kedudukan Bank Rakyat sebagai antara lima koperasi terbaik ‘Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia’ bagi tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2018 hingga 2020.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Bin Haji Omar bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya menyerahkan sijil pengiktirafan tersebut kepada Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan semasa Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi baru-baru ini.
Datuk Haji Abdul Rani berkata, pengiktirafan ini membuktikan bahawa Bank Rakyat berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan mandat penubuhan Bank berkenaan yang bermula sebagai perintis bank koperasi pada tahun 1954, walaupun ia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran susulan daripada penularan pandemik COVID-19 yang masih membelenggu sektor perniagaan termasuk koperasi di seluruh negara.
“Sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dan bank Islam kedua terbesar dari segi saiz aset dengan jumlah lebih 800,000 anggota daripada individu dan koperasi, Bank Rakyat masih berjaya mengekalkan keutuhan prestasi kewangan pada tahap yang baik saban tahun hasil daripada sokongan pelanggan dan anggotanya,” ujar Datuk Haji Abd Rani.
Selain itu, Dato’ Syed Abdul Aziz berkata, kestabilan kedudukan kewangan Bank berkenaan juga dapat dilihat dari segi pencapaian keuntungan sebelum cukai dan zakat melebihi RM1.0 bilion sejak tahun 2016.
“Bagi tahun kedua pelaksanaan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) pada tahun ini, Bank Rakyat akan terus memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dengan mempelbagaikan perniagaan daripada runcit kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada anggota, pelanggan dan komuniti.
“Di samping itu, Bank Rakyat juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta SKM atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan dalam bersama-sama memperkasakan sektor koperasi negara,” tambah beliau. – SM