Bank Rakyat sumbang 10,000 topeng muka kepada polis Selangor
BANK Rakyat menyumbangkan sebanyak 10,000 unit topeng muka kepada Polis Kontinjen Selangor khusus untuk kegunaan anggotanya semasa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Rosman Mohamed berkata, sumbangan ini adalah hasil dana yang dikumpul daripada Tabung Kutipan Sumbangan kepada Petugas Barisan Hadapan COVID-19 yang dilancarkan oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al-Barakah baru-baru ini.
“Sebagai sebuah Bank koperasi Islam, kami terpanggil untuk membantu menyediakan topeng muka kepada pegawai dan anggota polis sebagai penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus memastikan keselamatan rakyat negara ini,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif ini juga adalah sejajar dengan komitmen Bank Rakyat dalam menghargai pengorbanan dan penat lelah kesemua pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan Ops COVID-19 sepanjang tempoh PKP ini.
“Kami berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pegawai dan anggota polis yang bertugas agar sentiasa bersiap siaga memantau pergerakan rakyat di seluruh daerah hingga tempoh PKP ini ditamatkan,” ujar Dato’ Rosman.
Sumbangan ini disampaikan oleh Ketua Komunikasi Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Dato’ Fadzil Ahmat pada majlis penyerahan yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Seksyen 9, Shah Alam pada hari ini. – SM