Bank Rakyat sedia pilihan Produk CASA berkonsep Tawarruq, tawar hadiah kempen bernilai RM407,000
BANK RAKYAT memperkenalkan Akaun Simpanan-i dan Akaun Semasa-i Elektronik berasaskan konsep Tawarruq bagi menggalakkan pelanggan membuat simpanan di samping berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM407,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, variasi produk baharu Bank di bawah rangkaian produk akaun semasa dan simpanan (CASA) ini ditambah baik mengikut keperluan semasa yang mana kadar keuntungannya akan diisytiharkan terlebih dahulu kepada pelanggan.
“Produk ini menjadi platform menyediakan penyelesaian simpanan inovatif patuh Syariah bagi memupuk tabiat menyimpan secara aktif dalam kalangan masyarakat bagi merancang dan mengurus kewangan mereka dengan lebih baik sekali gus berpeluang untuk memenangi hadiah menarik yang ditawarkan melalui kempen yang dijalankan,” ujar beliau.
Pelanggan Akaun Simpanan-i (Tawarruq) dan Akaun Semasa-i Elektronik (Tawarruq) berusia 18 tahun ke atas boleh menyertai Kempen Buka, Simpan dan Menang yang bermula pada 7 Februari hingga 30 Jun 2024 dengan mengekalkan baki purata bulanan minimum RM1,000 bagi individu dan RM5,000 bagi bukan individu untuk berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM250,000.
Menerusi kempen ini, 30 pemenang bulanan akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang manakala lima pemenang individu dan lima pemenang bukan individu bagi kategori hadiah utama bakal menerima hadiah wang tunai bernilai RM10,000 setiap seorang.
Sementara itu, Bank Rakyat turut menganjurkan Kempen Jom Menabung bermula 7 Februari hingga 31 Mac 2024 khusus untuk pelanggan Akaun Simpanan-i Nuri (Tawarruq) dan Akaun Simpanan-i (Tawarruq) berusia 18 tahun ke bawah dengan mengekalkan baki purata bulanan serendah RM500 serta berpeluang memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM157,000.
Kempen ini menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM5,000 untuk seorang pemenang bagi tempat pertama, RM3,000 untuk seorang pemenang bagi tempat kedua, RM1,000 untuk seorang pemenang bagi hadiah tempat ketiga dan 67 pemenang sagu hati akan menerima RM100 setiap seorang.
Mengulas mengenai inisiatif baharu ini, Mohammad Hanis berkata, “Bank Rakyat yang pada tahun ini menyambut ulang tahunnya yang ke-70 tahun akan terus komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inovatif dan bermanfaat, sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan serta kemakmuran ekonomi masyarakat.
“Kami akan terus berusaha memberikan pengalaman perbankan terbaik kepada pelanggan sebagai tanda penghargaan atas keyakinan dan sokongan berterusan yang diberikan terhadap produk dan perkhidmatan Bank Rakyat selama ini sebagai rakan kongsi perbankan pilihan mereka,” tambah Mohammad Hanis.
Untuk membuat permohonan atau mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk dan kempen ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 atau kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran serta ikuti media sosial rasmi @mybankrakyat. – SM
Artikel berkaitan > Lelaki 60 tahun bergelar jutawan selepas melabur dengan Bank Rakyat