Ekonomi

Bank Rakyat sasar lebih 100,000 siswazah mendaftar duitnow

BANK Rakyat menyasarkan lebih 100,000 siswazah mendaftar DuitNow melalui perkhidmatan perbankan Internet, iRakyat menjelang akhir 2020 menerusi kempen BR DuitNow@Uni.

Kempen tersebut merupakan kerjasama antara Bank Rakyat dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) serta institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk melakukan transaksi kewangan melalui kaedah tersebut.

Ketua Pegawai Perbankan Runcit Bank Rakyat Dr Mohammad Hanis Osman berkata inisiatif itu selaras dengan peralihan perniagaan Bank Rakyat yang berkonsepkan pendigitalan bersandarkan pelaksanaan pelan lima tahun Bank Rakyat 2025, untuk memastikan bank terus relevan.

“Melalui kerjasama PayNet, kita percaya pengenalan kempen ini (BR DuitNow@Uni) akan menjadi medium terbaik dalam usaha Bank Rakyat sebagai Bank Lestari untuk mengintegrasikan kelestarian dalam strategi perniagaan bank yang disasarkan kepada golongan millennial seperti mahasiswa, ” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Festival Konvokesyen Ke-14 (FESTKON) Universiti Malaysia Perlis di Arau malam tadi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat merasmikan Kempen BR DuitNow@Uni itu. Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Prof Ir. Ts. Dr R Badlishah Ahmad. UniMAP menjadi universiti awam pertama dilancarkan kempen tersebut.

Mohammad Hanis berkata Bank Rakyat turut memperkenalkan kempen Duit Belanja melalui DuitNow kepada pelanggannya yang mendaftar DuitNow di iRakyat bermula semalam dan berakhir pada 13 Januari tahun depan dengan tawaran hadiah bernilai RM20,000.

Selain itu, khusus kepada mahasiswa UniMAP, Bank Rakyat menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal termasuk hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Beliau berkata kempen BR DuitNow@Uni akan menjelajah beberapa buah IPT terpilih sepanjang tempoh kempen itu berlangsung.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PayNet Khairuan Abdul Rahman berkata pihaknya menyasarkan lebih 9.5 juta pengguna akan mendaftar melalui perkhidmatan DuitNow pada akhir tahun depan.

Beliau berkata setakat ini, lebih 7.7 juta pengguna telah berdaftar melalui perkhidmatan tersebut.

Khairuan berkata perkhidmatan DuitNow boleh didapati hampir di semua bank tempatan dan bukan bank tempatan.

“DuitNow telah dilancarkan pada Januari lepas. Matlamat utamanya untuk mengurangkan penggunaan tunai dan cek. Orang ramai boleh mendaftar melalui bank pilihan masing-masing dan ia percuma, ” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button