Ekonomi

Malaysia jalin kerjasama kukuhkan eksport minyak sawit ke China, India, UAE

MALAYSIA menjalin usaha sama dengan dua pengurus rangkaian bekalan minyak sawit utama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China bagi memudahkan penembusan minyak sawit ke China, India dan benua kecil India.

Memorandum persefahaman (MoU) usaha sama itu dimeterai menerusi Bohai Commodity Exchange (BOCE) Malaysia/ASEAN, bersama Hakan Agro DMCC Dubai dan BOCE Global China, di sini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Kok berkata Hakan Agro, yang mempunyai perniagaan luas di benua kecil India, Timur Tengah dan UAE, akan memudahkan eksport lebih daripada 1 juta tan metrik (MT) minyak sawit Malaysia di pasaran utama mereka di benua kecil India pada 2020.

BOCE Global pula mahu mengimport kira-kira 1.5 juta MT ke China menjelang 2020, katanya.

“Mereka menyasar kawasan pedalaman China yang kurang terdedah kepada minyak sawit, dan mencatat pertumbuhan ekonomi yang ketara ekoran bilangan penduduknya yang ramai,” katanya.

BOCE Malaysia/ASEAN diwakili oleh Pengerusinya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Hakan Agro diwakili Pengarah Urusannya Sudhakar Tomar manakala BOCE Global diwakili Pengerusinya Yan Dong Sheng.

“Saya gembira kerana pengurus rantaian bekalan antarabangsa terkemuka dan berpengalaman itu turut membantu Malaysia unutk mempelbagaikan pasaran minyak sawitnya,” kata Kok.

BOCE Malaysia/ASEAN meupakan platform dagangan e-dagang komoditi pertama Malaysia yang dikendalikan oleh syarikat Malaysia — Commodities Global Trade Sdn Bhd (CGTSB). CGTSB memegang hak eksklusif di bawah Bohai Commodity Exchange (BOCE) China.

Kok berkata MoU itu tepat pada masa dan disambut baik ekoran tekanan yang dihadapi Malaysia berikutan cadangan mengggugurkan minyak sawit sebagai bahan api oleh Kesatuan Eropah, selain pelbagai isu yang dihadapi dengan persatuan perdagangan lemak dan minyak India.

“Platform dagangan dalam talian itu dapat membuka peluang kemasukan produk berasaskan sawit yang luas, yang merupakan tindakan utama untuk menambah nilai dalam hasil eksport negara menerusi minyak sawit dan produk sawit secara keseluruhannya,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button