Ekonomi

Bank Rakyat santuni golongan sasar sempena ulang tahun ke-67

Bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-67, Bank Rakyat di bawah program jangkauan komunitinya terus menyantuni masyarakat yang memerlukan menerusi Program Jalinan Bank Rakyat 67 yang dilaksanakan di seluruh negara.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, program bersempena dengan detik istimewa ulang tahun Bank Rakyat ini bertujuan untuk memberi semula serta berkongsi keuntungan kepada masyarakat yang memerlukan khususnya kepada golongan asnaf dan B40 dalam situasi yang mencabar ini.

“Ketika ini, ramai rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan berikutan kesan ekonomi daripada pandemik COVID-19. Justeru, sejajar dengan slogan ‘Keluarga Malaysia’ oleh kerajaan, Bank Rakyat mengambil inisiatif untuk meraikan sambutan ulang tahunnya pada tahun ini dengan meringankan beban mereka sekali gus mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah antara Bank Rakyat dan komuniti.

“Inisiatif ini juga sebagai tanda penghargaan kami kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan kepada Bank Rakyat sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab dalam menguruskan perancangan kewangan mereka, ” katanya.

Pada 18 September lalu, beliau telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM13,400 kepada 67 mualaf dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di Kedah.

Penyerahan sumbangan diserahkan menerusi Setiausaha Kehormat PERKIM, Tuan Haji Turedy Abdullah yang turut disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Haji Mohd Jafri Kudus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, program yang dilaksanakan dari semasa ke semasa menerusi kerjasama dengan cawangan Bank Rakyat ini menumpukan kepada pelbagai golongan sasar melibatkan 67 orang penerima terpilih sama ada daripada golongan asnaf atau individu atau keluarga daripada golongan B40 daripada setiap negeri.

Antaranya melibatkan masyarakat orang asli di Kuala Krai, Kelantan, golongan asnaf di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, golongan ibu tunggal di Petaling Jaya, Selangor, pelajar sekolah di sekitar Santubong dan Kuching, Sarawak dan di sekitar Rompin dan Muadzam Shah, Pahang, mahasiswa daripada keluarga B40 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu serta golongan orang kelainan upaya (OKU) di Kluang, Johor.

Seiring dengan aspirasi MEDAC dalam melahirkan bangsa usahawan, golongan usahawan di Sandakan, Lahad Datu, Keningau, Kota Marudu dan Kota Kinabalu, Sabah juga turut menerima sumbangan ini.

“Semoga inisiatif ini dapat meringankan beban para penerima dan memberikan kegembiraan kepada masyarakat dalam mengharungi waktu sukar ini. Sembilan persepuluh punca rezeki adalah daripada perniagaan. Oleh itu, kami percaya setiap daripada keuntungan yang kami perolehi perlu dikongsi bersama,” tambah Dato’ Syed Abdul Aziz.

Bersempena tarikh ulang tahunnya, Bank Rakyat turut meraikan 67 bayi yang lahir pada 28 September 2021 di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Program ini amat bermakna kerana ia merupakan simbolik terhadap tempat lahirnya Bank Rakyat di negeri tersebut.

Pada masa yang sama, Kelab Nuri Bank Rakyat menerusi My 1st Bank Program menghadiahkan wang simpanan menerusi Akaun Simpanan-i serta cenderamata istimewa Kelab Nuri kepada 50 bayi yang baharu lahir bermula 28 September hingga 30 September 2021 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Pendekatan ini juga adalah sebagai usaha Bank Rakyat dalam mengalakkan ibu bapa untuk membuat tabungan secara berterusan bagi merancang kewangan anak-anak selain memupuk generasi menabung demi masa depan yang lebih terjamin lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi kini yang tidak menentu. – SM

(Visited 327 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button