Ekonomi

Bank Rakyat lancar Projek wakaf solar di Masjid Al-Mursyid Guring, Perlis

BANK Rakyat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini telah melaksanakan Projek Wakaf Solar di Masjid Al-Mursyid Guring di Pauh, Perlis, sebagai inisiatif mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menyokong komuniti setempat.

Pada Majlis Perasmian Projek Wakaf Solar tersebut, sumbangan sebanyak RM62,000 telah diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Prof. Dr. Hj. Raduwan Idar kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor, disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Turut hadir, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring, Hj. Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.

“Melalui pemasangan panel solar ini, Masjid Al-Mursyid kini mampu menikmati penjimatan kos operasi yang signifikan, khususnya bil elektrik, dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam dan efisien.

“Penjimatan tersebut membolehkan pihak masjid memperuntukkan semula sumber kewangan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid serta meningkatkan fasiliti dan kemudahan lain untuk manfaat para jemaah,” ujar Bank Rakyat.

Selain itu, projek ini turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya kelestarian alam sekitar. Ia juga menggalakkan penglibatan komuniti melalui sumbangan wakaf yang memberikan impak berterusan kepada masjid dan komuniti setempat.

Tambah Bank Rakyat, ia berharap kerjasama ini menjadi contoh dan inspirasi kepada institusi lain untuk mengadaptasi teknologi hijau dalam usaha memelihara alam sekitar dan mengoptimumkan penggunaan sumber secara bertanggungjawab, seiring dengan nilai Islam yang menekankan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan tanggungjawab sosial.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button