Agama

Raja Muda Perlis lancar kempen zakat, wakaf, sedekah peluang akhir 2024

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Kempen ‘Nihayatul Am’ Zakat, Wakaf dan Sedekah Peluang Akhir Tahun 2024 untuk ditunaikan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Tabung Baraatuz Zimmah (t-BAZ) MAIPs yang diperuntukkan daripada dana sumber am untuk tujuan baik pulih Masjid Nurul Husna. Sumbangan ini mencerminkan usaha berterusan MAIPs dalam membantu memperkasakan institusi agama di negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menyatakan bahawa kempen ini merupakan peluang penting bagi umat Islam melaksanakan kewajipan zakat bagi haul tahun 2024. Beliau turut menggalakkan masyarakat Islam untuk memanfaatkan baki rezeki dan kelapangan kewangan di penghujung tahun bagi menunaikan ibadah zakat, wakaf, dan sedekah.

“Jangan melengah-lengahkan tanggungjawab ibadah zakat. Ini adalah masa terbaik untuk memastikan zakat tahun ini dilunaskan tepat pada waktunya. Kempen ini juga mendorong umat Islam untuk merebut peluang menggunakan kesempenan akhir tahun bagi meningkatkan amal jariah,” ujar Mohd Nazim.

Related Articles

Beliau turut menekankan bahawa penghujung tahun adalah waktu terbaik untuk menilai semula harta dan pendapatan yang diperoleh sepanjang tahun serta memastikan tanggungjawab kepada Allah SWT disempurnakan.

“Zakat bukan sahaja memenuhi kewajipan agama, tetapi juga berperanan menyucikan harta dan jiwa. Ia melibatkan proses introspeksi yang membantu kita memperbaiki diri dan melibatkan diri dalam pembangunan masyarakat,” tambahnya.

Sebagai inisiatif tambahan, MAIPs juga melancarkan kempen kutipan wakaf tunai berjumlah RM2.5 juta bagi melengkapkan dana keseluruhan sebanyak RM7 juta untuk pembinaan Masjid As-Solihin Bawah Bukit Chuping.

Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha MAIPs untuk memperkukuhkan pembangunan komuniti Islam di Perlis.

Untuk kemudahan pembayaran zakat, wakaf, atau sedekah, umat Islam boleh mengunjungi portal rasmi MAIPs di www.maips.gov.my atau terus ke laman pembayaran dalam talian di bayaran.maips.gov.my.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button