Bank Rakyat laksana sistem CoBRa
BANK Rakyat bakal melaksanakan proses transformasi digital ke sistem Perbankan Teras (CoBRa) baharu bagi menaik taraf serta mempertingkatkan mutu dan operasi perbankannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed, CoBRa merupakan salah satu projek rintis bank tersebut ke arah perbankan digital.
Ini bagi membolehkan pelanggan menikmati pengalaman perbankan terbaik melalui peningkatan sistem automasi berskala tinggi.
“Selain itu, inisiatif ini juga bertujuan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan memenuhi keperluan rangka kawal selia baharu, di samping merancakkan lagi inovasi kewangan serta memacu transformasi digital industri perbankan Malaysia,” ujar Rosman.
Proses menaik taraf sistem Perbankan Teras ini akan bermula dari pukul 4 petang 9 Oktober sehingga pukul 12 tengah hari 12 Oktober.
Sehubungan itu, pelanggan dinasihatkan agar merancang transaksi perbankan sebelum tempoh gangguan perkhidmatan bermula seperti yang telah dijadualkan.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian tele-Rakyat di 1300-80- 5454 atau kunjungi laman web korporat di www.bankrakyat.com.my dan laman media sosial rasmi Bank Rakyat @mybankrakyat di Facebook, Instagram dan Twitter.