Bank Rakyat dan Yayasan TM serah tablet dan data internet sempena program “BR Didik Digital”
Bank Rakyat hari ini melancarkan inisiatif ‘BR Didik Digital’ dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (YTM) bagi membantu pelajar dari keluarga asnaf dan B40 mendapatkan akses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menyumbangkan tablet kepada 240 orang pelajar asnaf berumur antara 7 hingga 17 tahun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM105,000.00.
Manakala Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi YTM turut menyumbang 740 kad SIM unifi Mobile #BEBAS yang bernilai lebih RM180,000.00 kepada pelajar sekolah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Berikutan situasi pandemik COVID-19 yang masih membimbangkan, Bank Rakyat mengambil inisiatif dengan membantu pelajar yang terkesan serta mengalami kesukaran mendapatkan akses bagi memenuhi keperluan norma baharu pendidikan digital terutamanya bagi mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato Sri Dr Hj Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, MEDAC menyambut baik kerjasama antara Bank Rakyat dengan Yayasan Telekom Malaysia melalui program BR Didik Digital ini.
“Pada waktu yang sukar di era pasca COVID-19 ini, ramai yang masih lagi terkesan terutamanya pelajar. Tidak semua bernasib baik dan berkemampuan untuk menjalalankan kehidupan dalam norma baharu ini. Justeru jalinan kerjasama strategik sebegini diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu menyokong sesi pembelajaran mereka,” kata beliau.
“Sumbangan ini juga merupakan salah satu usaha menjadikan pendidikan inklusif kepada semua,” Beliau berkata demikian semasa ditemui pada sesi penyerahan tablet kepada penerima yang berlangsung di Santubong, Sarawak.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar pula berkata, “Program BR Didik Digital ini juga adalah seiring dengan Transformasi Sistem Pendidikan Negara ke arah Sistem Pendidikan Digital yang bertujuan meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam aspek penggunaan peralatan teknologi maklumat”.
Tambah beliau lagi, sumbangan tablet serta data internet ini selaras dengan Pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang merangkumi ke arah aspirasi matlamat Pelan Pembangunan Lestari Bank Rakyat seterusnya mencapai ideologi Bank, “Bukan keuntungan sebelum kemajuan, tetapi kemajuan yang mendorong keuntungan”.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, “Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam melaksanakan misi Rangka Kerja Kelestarian Bank Rakyat bagi menyediakan pembangunan komuniti yang berterusan serta menjamin pendidikan inklusif dan berkualiti”.
Sumbangan dan inisiatif ini diharap akan merintis model-model pembelajaran digital untuk penggunaan masa akan datang sekali gus mampu merapatkan jurang pembelajaran antara yang mampu memiliki peranti digital dengan yang kurang berkemampuan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TM yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, “Melalui komitmen berterusan kami dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara digital, kami di YTM percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapatkan pendidikan yang setara tanpa mengira lokasi dan status sosial keluarga mereka. YTM berharap melalui Program BR Didik Digital ini, kami dapat memudahkan anak-anak kita untuk terus terhubung dan lebih fokus dalam pelajaran mereka tanpa sebarang kekangan.
“Sumbangan kad SIM ini adalah merupakan sebahagian daripada dana Kementerian Kewangan Malaysia dalam menyokong usaha pembelajaran digital dalam kalangan pelajar sekolah. Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat menjadi pendorong kejayaan bakal pemimpin negara masa hadapan. TM menerusi YTM akan terus memperkukuhkan sebagai rakan yang diyakini dalam pembangunan negara, yang berfokuskan pendidikan dan pembangunan modal insan ke arah melahirkan tenaga kerja digital untuk memacu Digital Malaysia,” tambah Imri.
Sebanyak 240 buah tablet diserahkan kepada pelajar asnaf, manakala 240 pelajar lain akan menerima pakej data internet unifi Mobile #BEBAS secara percuma selama setahun. Penyerahan akan dilakukan secara berperingkat ke sembilan buah sekolah yang telah dikenal pasti.
Program ini turut memberikan pakej data internet percuma selama setahun kepada 500 pelajar daripada 10 buah MRSM. Sementara itu, seramai 20 pelajar asnaf daripada tiga buah sekolah iaitu SMK Bako, SMK Lundu, dan SMK Santubong, Kuching masing-masing menerima sumbangan tablet; manakala 20 pelajar lain menerima kad sim unifi Mobile #BEBAS. Penyerahan sumbangan ini telah disampaikan oleh Dato Sri Dr Hj Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar.
Selain di Sarawak, pelajar yang turut menerima bantuan ini adalah dari SK Jalan Raja Syed Alwi Kangar, SMK Tunku Putra Langkawi, SMK Paloh Gua Musang, SMK Kerteh, SK Satu, Jalan Hospital, Tapah serta SMK Taun Gusi Kota Belud.
Pelajar dari MRSM terpilih juga menerima sumbangan data internet daripada YTM termasuklah Arau, Langkawi, Balik Pulau, Taiping, Serting, Kem Terendak, Muar, Kuantan, Terengganu dan Pengkalan Chepa. – SM