Ekonomi

Bank Negara fokus kukuhkan ekosistem kewangan Islam

Bank Negara Malaysia (BNM) meletakkan sasaran mengukuhkan ekosistem kewangan Islam Malaysia untuk tahun 2024 kerana potensinya dalam menyokong transformasi ekonomi negara.
Menerusi Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata, mereka akan menumpukan tiga bidang yang menyediakan penyelesaian berkesan untuk menangani keperluan ekonomi serta masyarakat pada masa ini dan di masa depan.
Ini termasuk menggalakkan inovasi kewangan berasaskan nilai yang menerapkan nilai asas Syariah, menyediakan persekitaran pengawalseliaan dan Syariah yang lebih kondusif bagi mempercepat perkembangan pasaran serta memperkukuh tawaran nilai Malaysia secara berterusan untuk memanfaatkan peluang global dan memperdalam pasaran kewangan Islam domestik.
Sambil menyifatkan sistem kewangan Islam negara kini terus matang, BNM berkata ini juga penting bagi menyediakan penyelesaian berkesan untuk menangani keperluan ekonomi serta masyarakat pada masa ini dan di masa depan.
“Pada 2023, pelbagai usaha telah dijalankan untuk meningkatkan peranan dan sumbangan kewangan Islam dalam menyokong pembangunan sosioekonomi di Malaysia, termasuk kerjasama BNM dengan industri kewangan Islam untuk meningkatkan penggunaan kewangan berasaskan nilai bagi memenuhi keperluan kewangan pengguna dan perniagaan.
“Inisiatif yang khusus telah dilaksanakan untuk menggalakkan penyelesaian inovatif melalui projek rintis yang diterajui industri dan memudahkan pengawalseliaan kewangan. BNM juga terus melaksanakan strategi ke arah memajukan Malaysia sebagai gerbang antarabangsa untuk kewangan Islam, termasuk memperdalam pasaran kewangan Islam Malaysia dan mengeratkan hubungan antarabangsa,” kata bank pusat itu.
Selain itu, industri perbankan Islam dan takaful juga terus berkembang pada 2023 yang menyaksikan bahagian industri perbankan Islam daripada jumlah pembiayaan sistem kewangan meningkat kepada 45.6 peratus daripada 44.5 peratus pada 2022.
Bahagian industri takaful daripada jumlah caruman bersih turut meningkat daripada 23 peratus pada 2022 kepada 23.4 peratus pada tahun lepas.
“Institusi perbankan Islam dan takaful juga kekal berdaya tahan dan mempunyai tahap modal kukuh. Kedudukan ini membolehkan industri kewangan Islam untuk terus menyokong keperluan pembiayaan para peniaga termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta isi rumah, selain memberikan perlindungan kewangan,” katanya.
Menurut laporan itu, sepertimana digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, inisiatif utama diambil bagi menggalakkan rangkuman, kemampanan dan kesan sosial positif telah membolehkan BNM memudah cara pelaksanaan projek perintis Akaun Pelaburan dan melancarkan myWakaf 2.0 bagi menggembleng wakaf tunai dengan lebih cekap ke arah pemerkasaan komuniti dan ekonomi.
Turut dilaksanakan adalah peluasan CAKNA, satu kemudahan pendanaan bukan hutang, termasuk pemantapan operasi untuk menyalurkan bantuan yang berkesan kepada vendor PKS.
Pada tahun lepas juga, rangka kerja Syariah dan Penggerak Ekosistem yang kondusif telah menyaksikan Majlis Penasihat Syariah (MPS) terus memainkan peranan dalam pembangunan kewangan Islam di Malaysia seperti menangani pelbagai isu berkaitan pada 2023.
Ini seperti memberi kejelasan mengenai kebolehizinan beberapa transaksi dan pengaturan kewangan Islam yang baharu, sekali gus membantu menjamin kepastian serta menggalakkan inovasi berterusan dalam pembangunan penyelesaian pembiayaan Islam.
“BNM juga telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama untuk membangunkan strategi bagi memperkukuh ekosistem tenaga mahir dalam bidang Syariah, satu strategi bertujuan meluaskan kumpulan tenaga mahir dan mengukuhkan barisan pelapis MPS dan jawatankuasa Syariah.”
Dalam pada itu, BNM berkata Malaysia terus diiktiraf sebagai antara pasaran utama dalam kewangan Islam pada peringkat global.
Pada tahun lepas misalnya, bank pusat itu bertindak meneruskan usaha memperdalam pasaran kewangan Islam dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam aspek itu menumpukan usaha membangunkan pasaran pembiayaan bercagar dan pasaran derivatif.
Malah, sejajar dengan kedudukannya yang menjadi sebahagian daripada komuniti kewangan Islam global, BNM terus menyertai forum antarabangsa dan serantau serta memupuk kepimpinan industri melalui agenda Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).
“Ini termasuk meningkatkan daya saing industri kewangan Islam Malaysia, memperdalam hubungan kewangan dan menghasilkan inovasi kewangan Islam yang lebih berkesan,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button