Nasional

Banjir: Yang lebih teruk masih belum tiba, masa untuk bekerjasama – Panglima ATM

“Yang lebih teruk masih belum tiba.” Itu peringatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengenai bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Menurut beliau, musim tengkujuh belum lagi tiba dan ketika ia melanda memerlukan kerjasama daripada semua pihak bagi mengatasi bencana banjir yang bakal berlaku.

Beliau berkata demikian apabila ada pihak yang seolah-olah menyalahkan ATM apabila terdapat mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan tidak mendapat bantuan.

“Saya fikir bencana banjir ini kita perlu bersedia, yang lebih teruk belum tiba. Monsun belum tiba. Di kawasan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Ini adalah kawasan tradisi banjir masa monsun. Benda ini belum terjadi lagi.

“Maka, orang-orang kita sudah pun bersedia. Jika apa-apa terjadi mereka telah pun berada di tempat masing-masing.

“Jadi kita kena ingat ramai orang kata ada apa-apa bencana dia orang tengok askar. Ya, kita ada berada di situ. ATM bukan satu-satunya agensi yang sepatutnya membuat perkara ini. Ada agensi lain.
Ini yang saya ingin nyatakan di sini. Jangan apa-apa tengok askar tak cukup dan salahkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, bagi menjayakan Op Murni ini, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan diatur gerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, liason officer di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Tumpuan bantuan diberikan di Selangor, Pahang dan Kelantan yang menunjukkan situasi terjejas teruk di samping jumlah mangsa lebih dari 1000 orang.

Berdasarkan situasi semasa, ATM juga menumpukan kepada Negeri Pahang yang menunjukkan peningkatan lokasi dan mangsa banjir yang terlibat.

“Di Pahang buat masa kini dengan jumlah mangsa seramai 38,399 orang, sembilan kawasan yang melibatkan atur gerak ATM adalah di Maran, Kuantan, Raub, Kuala Lipis, Jerantut, Temerloh, Pekan, Bentong dan Bera.

“Bagi Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka buat masa kini menunjukkan keadaan yang masih terkawal. Walau bagaimanapun ATM sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 Kompeni iaitu 5 Pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” katanya.

Affendi berkata, di beberapa kawasan dalam fasa pasca banjir anggota ATM diatur gerak bagi memberi bantuan jiwa murni iaitu secara gotong-royong membantu komuniti setempat membersihkan kemudahan seperti masjid atau rumah ibadat, dan rumah warga emas atau mereka yang tidak berupaya untuk membuat kerja-kerja pembersihan.

ATM turut menggerakkan aset-aset yang mempunyai mobiliti lasak dan sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan seperti kenderaan trak 7 dan 3 tan yang boleh meredah banjir selain dari penggunaan bot-bot tempur yang ada dalam pegangan ATM. Aset udara TUDM juga diletak dalam keadaan siapsiaga sekiranya ia diperlukan bagi membantu mangsa banjir.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button