Ekonomi

TopzMall fokus pasarkan produk tempatan di luar negara

Selepas berjaya mencatat jualan sebanyak RM16 juta pada tahun pertama operasinya, platform e-dagang TopzMall yakin dengan model perniagaannya yang memberi fokus terhadap produk tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TopzMall, Calvert Choo, terdapat pelbagai produk Malaysia yang berkualiti dan TopzMall merupakan platform e-dagang terbaik untuk memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Hal ini kerana, pelanggan TopzMall bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga Filipina, Vietnam dan pasaran terbesar platform berkenaan adalah di China.

“TopzMall berbeza dengan platform e-dagang yang lain kerana kami memberi fokus untuk memasarkan produk jenama tempatan ke luar negara,” ujar Calvert.

Tambahnya, TopzMall menyasarkan jualan berganda pada tahun depan iaitu sebanyak RM32 juta. Justeru, Calvert menyeru untuk lebih ramai peniaga tempatan menyertai TopzMall.

Selain website, TopzMall boleh diakses menerusi aplikasi Yippi yang merupakan rakan strategi mereka.

“Tahun lalu kami hanya mencuba pasaran, melihat kepada jumlah jualan dalam tempoh setahun iaitu 16 juta, kami yakin model perniagaan dengan bergabung bersama rakan strategi telah berjaya.

“Selepas ini akan bergabung dengan lebih ramai rakan strategi. Sebagai contoh aplikasi Yippi, penggunakan aplikasi berkenaan boleh mengakses TopzMall secara terus tanpa perlu mendaftar, sebalik mereka terus boleh membeli-belah.

“Secara tidak langsung TopzMall mendapat trafik daripada pengguna Yippi. Oleh yang demikian, majoriti jualan TopzMall pada tahun ini datangnya dari China,” kata Calvert.

Selain pada itu, TopzMall turut merancang untuk mewujudkan kategori halal dalam platform berkenaan kerana sedar pasaran luas terhadap produk halal.

“Kami merancang untuk mewujudkan halal kategori dalam TopzMall. Masyarakat Muslim bukan sahaja ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

“Oleh itu, kami mahu membawa produk halal jenama tempatan masuk ke pasaran antarabangsa,” tutur Calvert.

Jelas Calvert, pihaknya yakin produk halal tempatan akan mendapat sambutan di TopzMall kerana kreadibiliti sijil halal Malaysia yang cukup diyakini di peringkat antarabangsa.

“Sijil halal Malaysia mempunyai kreadibiliti yang kukuh berbanding sijil halal antarabangsa lain. Bukan mudah untuk mendapatkannya dan perlu melalui pelbagai prosedur yang cukup teliti.

“Jadi, kami berharap selepas ini peniaga produk halal tempatan boleh menyertai kami di TopzMall dan menjual produk mereka ke seluruh dunia.

“Buat masa ini kekuatan kami adalah di China kerana majoriti pelanggan datangnya dari sana. Pasaran halal di China juga cukup besar, kami berharap pemilik produk halal tempatan tidak akan melepaskan peluang yang ditawarkan apabila kategori halal diperkenalkan dalam TopzMall,” ujar Calvert.

Calvert ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikan penyanyi Jeryl Lee Pei Ling sebagai duta kempen ‘2022 CNY Goods’ di sini pada Khamis. -SM

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button