PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.
Beliau berkata peruntukan itu termasuk RM50 juta menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air yang antara lain untuk menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu daerah berkenaan melibatkan kos sebanyak RM5 juta.
Daripada peruntukan RM50 juta itu katanya, juga melibatkan kerja membina dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan intake loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta), pembinaan Empangan Sabo fasa satu (RM20 juta) serta kerja pembaikan kemudahan pelancongan desa dan kerja baik pulih bekalan air.
“Pada masa sama menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terkesan dengan bencana ini.
“Sebanyak RM5,000 juga akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas banjir akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.
Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Ismail Sabri melahirkan rasa sedih dan hiba melihat keadaan 1,856 kediaman dan premis perniagaan yang musnah dan terjejas teruk akibat bencana alam ini.
“Banjir buruk yang berlaku telah meragut enam nyawa dan ketika saya berada di Titi Hayun, mayat mangsa keenam yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai ditemui pasukan penyelamat.
“Al Fatihah kepada mangsa-mangsa yang terkorban. Semoga keluarga mereka tabah menghadapi ujian ini.,” katanya.-BERNAMA