Politik

Sultan Selangor selar wakil rakyat tidak belajar kejatuhan sesebuah negara

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyelar wakil rakyat kerana tidak belajar sejarah kejatuhan sesebuah negara akibat berebut kuasa.

Bertitah dalam istiadat pembukaan sidang Penggal ke-4 Dewan Negeri Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin mengingatkan ADUN Selangor agar “jangan terlalu banyak berpolitik” sehingga lupa membela nasib rakyat.

Sultan Selangor itu kelihatan begitu berdukacita melihat pergolakan politik nasional dengan mengatakan perebutan kuasa menyebabkan pertelagahan dan ketidaktentuan yang begitu ketara.

“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar daripada sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.

“Tidakkah Ahli-ahli YB sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya?” titah Sultan Sharafuddin.


Baginda kesal melihat kelakuan ahli politik, ketika wakil rakyat sepatutnya ambil tahu masalah yang sedang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.

Wakil rakyat terbabit sudah pastinya tahu bahawa rakyat sedang menderita ketika negara berdepan wabak Covid-19.

“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata,” katanya.

Titah keras Sultan Selangor itu hadir pada saat negara bertukar perdana menteri buat kali ketiga dan dua kali bertukar kerajaan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung pada Mei 2018.

Sementara itu, Sultan Selangor turut mengingatkan para ADUN bahawa baginda mengikuti perkembangan perang melawan rasuah di negerinya.

Baginda mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi membersihkan Selangor daripada amalan rasuah.

Selain maklum tentang tangkapan beberapa penjawat awam berkedudukan tinggi, Sultan Sharafuddin turut menerima laporan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin politik berkaitan amalan rasuah dan salah guna kuasa.-SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button