Banjir, jambatan runtuh punca lebih 600 murid Orang Asli tidak ke sekolah
LEBIH 600 murid Orang Asli di tiga sekolah pedalaman di daerah Gua Musang, Kelantan, terkandas dan tidak dapat ke sekolah berikutan jalan rosak dan jambatan runtuh setelah hujan lebat sejak empat hari lalu.
BERNAMA hari ini melaporkan, murid Orang Asli yang terlibat dalam insiden ini ialah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, SK Bihai dan SK Hendrop yang sebelum ini berulang alik setiap hari ke sekolah dengan menaiki kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang, Azuri Hamzah berkata, semua murid yang terkandas itu tidak dapat ke sekolah kerana kenderaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak dapat masuk ke kampung mereka akibat jalan perhubungan terputus sejak pagi semalam.
BACA 500 mangsa banjir Dengkil pindah ke PPS
“Kenderaan JAKOA yang dalam perjalanan ke kampung Orang Asli untuk mengambil murid sekolah itu terhalang dengan kejadian jalan tertimbus tanah dan beberapa jambatan runtuh.
“Kita berharap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin bagi mengelak murid Orang Asli terjejas dalam pelajaran mereka,” katanya selepas melawat SK Hendrop, hari ini.
Dua hari lalu, kejadian hujan lebat itu turut menyebabkan berlaku banjir lumpur di Pos Hendrop pada kira-kira pukul 11 malam.
Banjir hampir memasuki kawasan sekolah, berikutan kejadian itu, 21 murid yang tinggal di asrama sekolah berkenaan telah dipindahkan lebih awal ke tempat selamat.
Azuri yang bimbang dengan kejadian hakisan yang begitu hampir dengan sekolah meminta para guru agar mengawasi pergerakan murid supaya mereka tidak bermain di kawasan berkenaan.
“Masalah bencana alam ini sememangnya tidak boleh dijangka atau dielakkan, lebih-lebih lagi hampir tibanya musim tengkujuh,” katanya. – SM