Luar Negara

Banjir di selatan Thailand ragut tiga nyawa, lebih 260,000 keluarga terjejas

HUJAN lebat berterusan sejak lebih seminggu menyebabkan sembilan wilayah di selatan Thailand dilanda banjir yang mengorbankan tiga nyawa dan menjejaskan kira-kira 261,253 keluarga setakat ini.

Sembilan wilayah yang terjejas ialah Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Trang, Songkhla, Pattani, Narathiwat, Satun dan Yala berikutan hujan lebat sejak 25 Nov.

Nakhon Si Thammarat merupakan wilayah paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Gabenor Nakhon Si Thammarat, Kraisorn Wisitwong berkata kesemua 23 daerah di wilayah itu dilanda banjir yang telah menjejaskan kira-kira 500,000 penduduk.

Sehubungan itu, jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan untuk terus memantau khususnya di kawasan berisiko banjir.

“Perdana menteri mahu pihak berkuasa mempercepatkan proses bantuan dan pemindahan mangsa banjir sekiranya perlu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat dijangka melanda Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Ranong, Phang-nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button