Bola SepakSukan

Bale rayu Real Madrid lepaskannya

GARETH Bale telah membuat rayuan kepada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris, hari ini, untuk membantunya mengakhiri penderitaan yang terpaksa ditanggungnya bersama Real Madrid.

Bekas bintang Tottenham itu, menuduh kelab gergasi Sepanyol tersebut sengaja menyekat kariernya selepas menghalang perpindahannya ke China, musim panas lepas.

Bale telah dipinggirkan bos Real, Zinedine Zidane, tetapi bakal mengakhiri selama 10 minggu hidup dalam buangan, apabila dia akan menerajui Wales dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah bertemu Finland, awal pagi esok.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, dia berasa lebih dihargai apabila berada bersama anak-anak buah Ryan Giggs berbanding ketika di Bernabeu yang menyeksa jiwa raganya dan Bale bersedia untuk kembali ke kancah Liga Perdana.

“Jika peluang tersebut muncul, maka saya bersedia menimbangkannya. Kita akan tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku.

“Kami mempunyai banyak masa pada jendela perpindahan kali ini dan hanya masa yang akan menentukan.

“Keputusan tidak berada di tangan saya, semuanya terpulang kepada Real Madrid. Jujurnya, mereka menjadikan keadaan semakin sukar.

“Apa yang terjadi di Madrid tidak akan memberi kesan kepada saya. Semua orang tahu tentang kesungguhan saya bermain bersama Wales.

“Apabila saya berada di sini (Wales), saya sangat gembira, selesa dan berasa kehadiran saya dialu-alukan. Seronok rasanya apabila dapat pulang ke tempat di mana anda dihargai dan menerima sokongan daripada peminat tanpa mengira apa yang bakal berlaku.

“Saya berada di sini untuk bermain bola sepak dan saya berazam untuk mempamerkan persembahan yang baik,” kata Bale.

Bale, yang berharga 86 juta pound (RM475 juta) sewaktu menyertai Real pada 2013, telah memenangi gelaran Liga Juara-Juara sebanyak empat kali di Sepanyol, tetapi dia hanya bermain selama 100 minit dalam 12 perlawanan sejak kawalan perintah berkurung dikuatkuasakan. – The Sun UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button