Nasional

Bakar al-Quran: Tindakan ahli politik Sweden satu provokasi, bersifat kebencian

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia pemimpin politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah Al-Quran di Stockholm, Sweden pada 21 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menggesa Kerajaan Sweden mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji tersebut serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di Sweden.

“Penghinaan terhadap Kitab Suci Islam yang dilakukan secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti, bukan sahaja Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia,” katanya.

Malaysia, tegas Anwar, mengecam jenayah bersifat kebencian yang ditujukan kepada Muslim seluruh dunia. Ia termasuk sebarang bentuk tindakan mencetus kebencian dan rasisme, sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tindakan.

Anwar turut menyatakan peningkatan kadar ucapan benci terhadap kepercayaan atau etnik juga sangat membimbangkan. Oleh itu, beliau mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak tindakan perkauman dan agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara, dan Malaysia kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan kebencian dan keganasan,” tambahnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button