CelotehRencah Hidup

Baja kulit pisang, butir nangka pemanis mulut Mak Teh

APABILA melayari media sosial pada waktu senggang, Mak Teh suka membaca tentang tips penjagaan kebun mini melalui sisa-sisa makanan seperti kulit pisang dan kulit bawang.

Selain boleh dijadikan baja organik, ia juga mampu mendidik kita untuk memanfaatkan sisa buangan tanpa perlu terus menganggapnya sebagai sampah sarap.

Sebagai contoh kulit bawang yang dikupas setiap hari (bagi yang memasak) jangan terus dibuang. Sebaliknya rendam dengan sedikit air dan letakkan dipangkal pokok cili.

Hasilnya pokok cili lebih subur dan rajin berbuah. Apabila kulit bawang itu sudah mongering, rajin-rajinkan tangan untuk membersihkan pangkal pokok cili itu dan ulangi aktiviti meletakkan kulit  bawang di pangkal pokok.

Untuk kulit pisang pula… rendamkan sahaja dalam balang plastik berisi air dan selepas seminggu, bolehlah semburkan air rendaman tersebut di pokok-pokok atau siram di pangkal pokok untuk menambahkan lagi kesuburannya.

Tak perlu Mak Teh jelaskan secara terperinci di sini kalian rajin-rajinkanlah diri menggoogle bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai baja kulit daun pisang.

Butir nangka Bunga Telang Mak Teh mantop!

Okay… kali ini Mak Teh nak kongsikan cara membuat butir nangka bunga telang yang sangat menggoda dan sedap dimakan pada waktu petang bersama keluarga.
Kalau bujang pun boleh je buat. Nak lebih seronok, ajaklah kawan-kawan datang ke rumah makan sambil bersembang atau membawang.

Bahan-bahannya sangat mudah:
– air bunga telang
– tepung pulut
– daun pandan
– santan
– gula perang atau gula pasir
– sagu biji
– jagung

Kalau nak letak buah nangka yang dihiris-hiris pun boleh tapi dekat rumah Mak Teh, cuma ada jagung sejuk beku maka kita buatlah butir nangka bersama jagung.

Cara-caranya: Baiklah… mula-mula rebus segenggam bunga telang dgn secawan air sehingga mendidih, tapis dan biarkan sejuk.

Ambil dua cawan tepung pulut dan masukkan sedikit demi sedikit air bunga telang. Uli sehingga menjadi doh dan tidak melekat di tangan.

Sambil-sambil tu, panaskan air dalam periuk. Bila sudah mendidih gentel-gentelkan doh tadi berbentuk sedikit lonjong dan masukkan campakkan aje ke dalam air panas sampai doh habis.

Bila dah timbul atau terapung, angkat dan masukan pula dalam air sejuk.

Seterusnya kita buat kuah santannya pula ya: Mula-mula panaskan tiga cawan air, bila mendidih masukkan sagu biji yang telah dibasuh terlebih dahulu sehingga jernih.

Masukkan pula gula, daun pandan, sekotak santan saiz kecil dan jagung.

 Seterusnya masukkan butir nangka dan rasa tahap kemanisan kuah santan tu.

Untuk naikkan rasa lemak letakkan secubit dua garam dan sedia untuk dihidangkan.

Biasanya Mak Teh suka buat butir nangka pandan bersama hirisan nangka tapi semenjak dua menjak ini, suka pula buat butir nangka bunga telang.

Ada ketikanya Mak Teh guna pewarna biru, merah, kuning dan hijau untuk menaikkan seri dan selera anak-anak. Kalau resipi asal, kena masak bersama sedikit halba tapi Mak Teh tak letak.

Keenakkan butir nangka bagi Mak Teh bergantung kepada kreativiti dan selera masing-masing. Ada juga yang suka letak pisang dan rasanya tetap sedap. Ada yang suka kuah santan tu cair, ada yang suka pekat dan ada yang campurkan susu cair.

Memasak butir nangka ini, kalau boleh butirnya itu jangan terlalu besar atau terlalu kecil. Biar nampak sekata saja saiznya.

Kalau kejap besar, kejap kecil, tak berapa cantik hendak dipandang walaupun apabila makan tetap sama je rasanya. Tapi biarlah cantik. Baru terserlah ketelitian si pembuat…. haaa tak gitewww. Selamat mencuba. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button