BUMBUNG bocor, sistem perpaipan tersumbat, pendawaian elektrik yang rosak serta cat luntur antara masalah sering dihadapi penghuni di beberapa kawasan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bagi pegawai dan anggota tentera yang bertugas di Kem Terendak sejak bertahun-tahun lamanya.
Dengan keadaan kurang memuaskan itu, kebanyakan penghuni yang sudah berkeluarga agak terganggu dalam membesarkan anak-anak mereka kerana suasana persekitaran kurang selamat.
Namun kini, mereka mampu menarik nafas lega apabila kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pertahanan, memperuntukkan sejumlah dana tambahan bagi projek membaik pulih dan menyenggara RKAT bagi keselesaan penghuninya.
Bagi anggota Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja kem berkenaan Kfn Muhammad Aidid Mat Azenan, 26, projek baik pulih RKAT memang dinanti-nantikan beliau memandangkan keadaan premis yang rosak akibat kurang penyenggaraan.
“Ketika mula dipindahkan ke kem ini, saya berasa terganggu melihat keadaan rumah yang kurang memuaskan. Pendawaian elektrik yang rosak, cat luntur malah lubang tandas tersumbat merupakan antara masalah utama.
“Bagaimanapun, hasil keprihatinan kerajaan yang menyalurkan sejumlah peruntukan untuk projek baik pulih, memberi kelegaan kepada penghuni di sini untuk hidup lebih selesa,” katanya kepada agensi berita.
Muhammad Aidid yang tinggal di RKAT Desa Tun Razak bersama isteri, Siti Nor Farhana A Rostam, 24, dan anaknya Nur Mikayla Alzahrah, lapan bulan, berkata baik pulih yang dilakukan nyata memberi kesan positif terhadap keluarganya.
“Bila dipindahkan ke sini, saya dapat kediaman yang sudah dibaik pulih. Tiada lagi rasa tertekan selepas habis waktu bertugas kerana bila pulang ke rumah, (rumah) berada dalam keadaan baik sekali gus saya dapat berehat dengan lebih selesa.
“Saya tak lagi rasa terganggu melihat rumah kerana ia sudah dicat, pendawaian elektrik juga baharu malah tiada cermin tingkap yang pecah. Pihak pengurusan juga menyediakan dapur gas, peti ais dan perabot termasuk katil, almari, sofa dan meja makan untuk kegunaan penghuni,” katanya.
Koperal Muhammad Amir Abd Bahar, 27, yang berkhidmat di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN) pula berkata baik pulih RKAT memberi keselesaan untuk membesarkan anaknya, Muhammad Ziyad Fakhruddin, 10 bulan.
Beliau berkata isterinya Nur Shazwana Sehat, 27, tidak lagi mengadu takut tinggal di RKAT memandangkan pendawaian sudah dibaiki. “Sebelum ini saya bertugas di sebuah kem tentera di Negeri Sembilan dan tinggal di RKAT.
Kadang-kadang risau juga nak tinggalkan isteri dan anak kerana pendawaian elektrik yang kurang memuaskan, takut terjadi litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran terutama ketika hujan.
“Menerusi baik pulih di RKAT ini, keluarga saya dapat tinggal dengan lebih selesa dan saya rasa lebih tenang ketika menjalankan tugas kerana tahu mereka berada dalam keadaan selamat memandangkan isteri hanyalah suri rumah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 SKN RAJD) kem berkenaan Mej Mohd Ridfazrin Razali berkata baik pulih dan senggaraan yang dilakukan ketika ini membabitkan 300 rumah di RKAT Desa Tun Razak, RKAT Desa Ria Tangga Batu dan Desa Taming Sari 1 dan 2.
Beliau berkata 150 daripada 300 rumah di tiga RKAT berkenaan siap dibaik pulih sejak projek berkenaan bermula pada Mac lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun depan menerusi peruntukan yang disalurkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan Persekutuan.
“Sebanyak 140 anggota 9 SKN RAJD ditugaskan untuk melaksanakan kerja baik pulih dan senggaraan ini yang menumpukan tiga perkara utama iaitu baiki setiap satu kerosakan, senggaraan umum dan kerja-kerja peningkatan seperti penambahan soket elektrik dan lampu.
“Saya berharap dengan hasil kerja-kerja baik pulih yang dilakukan sendiri oleh tentera ini akan dapat meningkatkan moral anggota yang menghuni RKAT sekali gus mereka mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM400 juta pada tahun depan untuk membina dan menyelenggara infrastruktur dan RKAT seluruh negara.
Artike berkaitan > MINDEF tingkat keupayaan aset, taraf keselesaan anggota pada Belanjawan 2024