BeritaNasional

Bahasa Melayu: Raja Muda Perlis saran kajian terperinci

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak semua agar kita melihat bagaimana rakyat Thailand meneguhkan identiti jati diri mereka.

Menurut baginda, ‘Jika kita amati, semua rakyat Thailand amat fasih berbahasa Thai dan tidak ada yang tidak fasih berbahasa Thai. Bahasa Thai juga ditekankan dalam setiap pembelajaran di sekolah-sekolah mereka.’

Lebih dari itu, ada yang lebih gemar berbahasa Thai berbanding bahasa keturunan asal mereka kerana terbiasa atau dibesarkan dengan Bahasa Thai.

Demikianlah hal yang hampir sama jika kita lihat pada negara jiran kita yang lain iaitu Indonesia.

Setiap rakyat Indonesia fasih berbahasa Indonesia.

Oleh itu, pihak-pihak berwajib di negara kita sepatutnya juga mampu berbuat demikian sebaiknya dan baginda rasa pihak-pihak berwajib hendaklah membuat kajian terperinci bagaimana kejayaan Thailand dan Indonesia ini boleh berlaku untuk mengupayakan semua rakyat Malaysia juga mampu berbahasa kebangsaan dengan baik.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan majlis pelancaran ‘Program Pembelajaran Bahasa Melayu’ yang diadakan di Izzuddin Witaya School Krabi, Thailand tengahari semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mudir sekolah yang mempunyai 700 orang pelajar berkenaan, Ismail Abdullah bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Timbalan Gabenor Wilayah Krabi, Somkuan Khan-Ngern dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Aktiviti anjuran MAIPs yang mendapat kerjasama daripada institusi pendidikan di bawah naungannya iaitu Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Majlis Agama Islam Wilayah Krabi dan juga DBP ini adalah sebahagian daripada ‘Program Ziarah Mahabbah Ke Enam Wilayah Andaman Sempena Sambutan 100 Tahun MAIPs’ baginda sejak jumaat dan berakhir semalam yang diadakan di Krabi sebagai tuanrumah pada tahun ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs turut menambah bahawa dalam usaha memupuk perpaduan antara masyarakat berbilang kaum, penyatuan rakyat amatlah penting dan ianya boleh dimulakan melalui cara memupuk semangat perpaduan sejak dari kecil dan di bangku sekolah lagi kepada anak-anak kita bak kata pepatah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button