Politik

PN junjung kasih keyakinan Agong terhadap kebijakan kerajaan

Perikatan Nasional menjunjung kasih di atas keyakinan Yang di-Pertuan Agong terhadap kebijakan dan tindakan penguatkuasaan kerajaan dalam melindungi kesihatan rakyat terhadap penularan wabak Covid-19.

KETUA Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN juga menjunjung kasih terhadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana mengiktiraf usaha kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dalam menangani Covid-19.

“Perikatan Nasional menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengiktiraf kejayaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Perikatan Nasional juga menjunjung kasih di atas keyakinan Yang di-Pertuan Agong terhadap pelaksanaan kebijakan dan tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Persekutuan demi melindungi kesihatan rakyat, memelihara kebajikan dan menjamin keselamatan rakyat serta mencerdaskan ekonomi negara,” kata Azmin.

Kenyataan Azmin itu adalah yang pertama sejak Al-Sultan Abdullah menolak pengisytiharan darurat yang dicadangkan oleh Kabinet Muhyiddin pada Ahad lalu.

Penolakan tersebut berikutaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja merasakan Kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Azmin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, Perikatan Nasional bertekad untuk terus bekerja kuat bersama-sama rakyat dan barisan hadapan negara bagi memerangi pandemik Covid-19 secara holistik.

Justeru, Kerajaan Perikatan Nasional meminta semua pemimpin politik merentasi segenap batas perbezaan untuk bersama-sama memulihkan ekonomi negara.

“Perikatan Nasional menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik merentasi segenap batas perbezaan untuk segera mendakap kesatuan bersama rakyat demi memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” kata Azmin.

Sementara itu Azmin menyatakan, Perikatan Nasional menyambut baik semangat solidariti parti-parti komponen terhadap kepimpinan Muhyiddin.

“Perikatan Nasional menyambut baik semangat solidariti parti-parti komponen; PAS, STAR dan SAPP serta Ahli-Ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendukung Kerajaan Perikatan Nasional,” kata Azmin.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button