Azmin bawa diri meninggalkan PKR?
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan telah meninggalkan Melaka semalam – lokasi berlangsungnya Kongres Nasional PKR – dan tidak akan hadir pada program penutupnya petang ini.
Ini berlaku setelah apa yang disifatkan sebagai ‘perbalahan’ terbuka dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Azmin bertindak meninggalkan kongres itu bersama tiga Naib Presiden dan 22 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sambil meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Anwar.
Azmin secara terang terangan mendakwa pelaksanaan kongres telah melanggar persetujuan yang dicapai pada perjumpaan dengan Anwar pada 4 Disember lalu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan ucapan Anwar yang antara lain menyebut kisah si Kitul yang dianggap sebagai serangan peribadi kepada anggota parti.
Pada sidang akhbar selepas itu Azmin turut menyifatkan sesi penganugerahan di kongres itu pula sebagai satu bentuk provokatif.
Bersama Mohamed Azmin ialah dua Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua serta 22 ahli MPP bersama Ketua Wanita PKR, Haniza Talha, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham turut menandatangai kenyataan sebagai tanda sokongan kepada Timbalan Presiden itu.
Jika berdasarkan kepada atur cara yang dimuat naik PKR dalam laman web rasminya, hari terakhir bakal menyaksikan penggulungan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) termasuk Presiden dan Timbalan Presiden.
Majlis yang bermula 9 pagi itu didahului dengan ucapan aluan Pengerusi Tetap merangkap Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim.
Ia akan disusuli ucapan penggulungan Ketua Penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, diikuti ucapan penggulungan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Wanita Haniza Mohamed Talha.
Setelah itu, lima Naib Presiden dijadual mengambil giliran untuk menggulung, dimulai dengan Ali Biju, Chang Lih Kang, Tian Chua, Datuk Dr A. Xavier Jayakumar dan Zuraida Kamaruddin.
Ia kemudian disusuli Setiausaha Agung Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dengan lemuncak acara ialah penggulungan oleh Azmin Ali dan Anwar.
Namun, perkembangan terbaharu ini sudah tentu Azmin dan pengikutnya tidak akan terlibat dalam sesi penggulungan.
Anwar dikatakan telah gagal memenuhi kerangka dan parameter yang telah dipersetujui dalam mesyuarat pada 4 Disember lalu.
“Kegagalan presiden penuhi janjinya untuk patuh kepada kerangka dan parameter perubahan yang dipersetujui bersama.
“Kami buat keputusan adalah tidak munasabah untuk kami terus berada dalam dewan perbahasan dengan kenyataan provokatif yang ditonjolkan dalam kongres ini,” kata Azmin pada sidang akhbar semalam.
Anwar dalam responnya langsung tidak kisah dengan apa yang dilakukan oleh Mohamed Azmin itu.
“Kalau dia (Mohamed Azmin) terasa itu masalah dia bukan masalah saya. Itu kenyataan sejarah dalam sulalatus salatin,” demikian respon Anwar.
Ini memberi bayangan bahawa hubungan Anwar-Azmin sudah tidak dapat diselamatkan. Apabila Azmin keluar meninggal kongres semalam, ia mungkin boleh dianggap beliau telah membawa diri meninggalkan PKR
Anwar menafikan ucapan dasarnya menyentuh mana-mana individu secara peribadi.
Tanpa menghiraukan apa yang dirasai oleh Azmin dan pengikutnya, pada Anwar sukar untuk sekretariat mengawal isi kandungan ucapan para perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar presiden.
Katanya, semua perwakilan semua sudah diingatkan tentang tatacara berucap termasuk tidak memetik nama mana-mana individu.
Bagaimanapun, katanya, perwakilan ada hak menegur mana-mana ahli yang didapati bermasalah seperti tidak hadir ke mesyuarat parti.
“Terpulang kepada perwakilan, nak kawal ucapan perwakilan susah lah. Perwakilan dipilih oleh negeri bukan dipilih oleh sekretariat,” kata Anwar.
Daripada kejadian-kejadian pada Kongres Nasional PKR ini, ia semakin jelas bahawa Anwar dan Azmin kini berada di haluan yang berbeza.
Azmin secara terang-terang berani mencabar Anwar dan langsung tidak menunjukkan rasa akan tunduk kepada individu yang beliau sokong dan pertahan sejak penghujung tahun 1990an itu. – SM