Ekonomi

Azmin Ali ketuai delegasi perundingan RCEP

Perundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan diteruskan pada Mesyuarat Peringkat Menteri Antara Sesi ke-10 yang akan berlangsung secara maya esok.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi pada perundingan RCEP bersama-sama 14 negara peserta lain terdiri daripada negara anggota ASEAN dan lima rakan kongsi ASEAN FTA iaitu Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.

Tahap perundingan semasa adalah tonggak penting ke arah jangkaan untuk menandatangani Perjanjian RCEP menjelang akhir tahun, kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

“Para menteri Ekonomi dan Perdagangan 15 negara anggota dijangka membincangkan isu-isu tertunggak bagi membolehkan perjanjian itu dimuktamadkan.

“Perjanjian RCEP, sebaik sahaja selesai, diharap dapat menjadi perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar dunia dari segi sumbangan keluaran dalam negara kasar kepada ekonomi dunia dan liputan penduduk,” kata kementerian itu.

Berikutan ketidakstabilan ekonomi global dalam keadaan pergeseran perdagangan dan penularan pandemik COVID-19, adalah mustahak bagi Malaysia, sebagai salah sebuah negara perdagangan global utama, untuk menyokong dan bekerjasama dengan negara-negara peserta RCEP yang lain ke arah mencapai penyelesaian perundingan dan seterusnya menandatangani Perjanjian RCEP.

MITI secara konsisten telah berinteraksi dengan beberapa pihak berkepentingan termasuk industri, pertubuhan masyarakat dan ahli Parlimen dalam memajukan kedudukan Malaysia dalam rundingan-rundingan berkenaan.

“Mohamed Azmin akan berkongsi dan menyatakan pandangan Malaysia mengenai kemajuan RCEP.  Untuk mencapai tujuan ini, kerajaan akan berusaha mempromosikan perdagangan bebas dan adil dan pada masa yang sama menyeimbangkan kepentingan pihak berkepentingan dalam negara,” katanya.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button