Mahkamah

Abdul Azeez, abang tarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah tolak permohonan pindah kes

AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif menarik balik rayuan masing-masing terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk memindahkan kes mereka dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berdepan tiga pertuduhan menerima  rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Beliau juga berhadapan dengan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta manakala Abdul Latif pula menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Panel tiga hakim yang bersidang di Mahkamah Rayuan di Putrajaya iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Hadhariah Syed Ismail serta Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin seterusnya membatalkan kedua-dua rayuan tersebut.

Hakim Yaacob yang mempengerusikan panel itu berkata, kes kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Terdahulu, peguam M. Athimulan yang mewakili dua beradik berkenaan memaklumkan mahkamah tentang arahan kedua-dua anak guamnya untuk menarik balik kedua-dua rayuan terbabit. Kedua-dua kes didengar secara berasingan di mahkamah di Putrajaya, hari ini.

Abdul Azeez, 53, dan Abdul Latif, 62, diberikan pengecualian oleh mahkamah untuk tidak menghadiri prosiding hari ini.

Athimulan menjelaskan kepada mahkamah bahawa Pejabat Peguam Negara telah memohon untuk memindahkan kes Abdul Azeez dan Abdul Latif dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan pihak pembelaan menyokong permohonan pihak pendakwaan.

Beliau berkata, mereka kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 28 November lalu menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi namun pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan.

Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Untuk kes pengubahan wang haram pula, beliau dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abdul Latif pula dituduh bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah membantu Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Projek melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-kerja Menaik Taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pendengaran ditetapkan pada 18 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling. – BERNAMA

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button