Nasional

Ayuh! gilap, ramaikan lagi Melayu kebangsaan

KOMENTAR

ISU Melayu berpecah tidak akan timbul jika orang Melayu hari ini dari akar umbi hingga kepimpinan atasan politiknya memiliki ciri pemikiran Melayu kebangsaan.

Maksud Melayu kebangsaan ini pada perspektif Suara Merdeka – seorang Melayu berpengetahuan luas, baik pergaulannya tetapi tetap berpegang pada nilai-nilai budaya, adat resam Melayu, Islamnya.

Istilah Melayu kebangsaan ini tidak sahaja melahirkan jaguh kampung, tetapi lebih lagi dengan rakyatnya mencerminkan pencapaian.

Kalau dalam industri fesyennya, piawaiannya Melayu-Islam tinggi dengan usahawan Melayu bergiat dalam industri berteknologi tinggi.

Kalau dalam agamanya, bukan setakat mampu mengungkapkan firman-firman dan hadis dengan manfaat untuk kebaikan ummah, bahkan boleh mengimbangkan antara soal dunia dan akhirat dengan berkesan.

Bukan macam ‘ustaz selebriti, PU sana, PU sini, jolokan imam muda’ atau istilah-istilah yang sedap didengar sekadar menyeronokkan – malangnya teladan dan pengajarannya tidak sampai ke hati.

Jika orang Melayu berjiwa besar menyerap semangat kebangsaan ini, kita pasti tidak akan tergugat dengan kata-kata berbaur rasis yang cuba mengusik keharmonian antara kaum.

Harus diakui, politik bangsa Melayu kini di persimpangan. Bangsa Melayu dari segi ketahanan jati diri dan daya saingnya sekarang tidak sama dengan bangsa Melayu 50 tahun dulu.

Padahal, pencapaian bangsa Melayu hari ini hasil daripada iltizam generasi bangsa Melayu terdahulu yang sanggup berkorban, bekerja keras dan mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Dengan Melayu kini pecah enam politik berpartinya, hayati dalam-dalam ungkapan Hang Tuah yang kononnya berkata, “Takkan Melayu hilang di dunia”.

Hari ini benarlah Melayu tidak hilang. Tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini – dengan berpecah belah sesama sendiri?

Suara Merdeka menaruh keyakinan tinggi, orang Melayu yang berpegang pada nilai-nilai murni, luhurnya dia harus macam dinukilkan oleh sasterawan Allahyarham Datuk Usman Awang (1988).

Bait-bait tertentu dari sajak Allahyarham, anak jati Johor dari Kuala Sedili, Kota Tinggi ini – yang menukilkan sifat-sifat orang Johor, elok dihayati dan diserap gambarannya:

Berkelahilah cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dalam senyum
marahnya dalam tertawa
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
jiwa Melayu mengangkat persahabatan
kasih sayang kekeluargaan
ringan tulang saling bertolongan
jujur memaafkan, ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu
silaturahim yang murni
di mulut sama di hati
maaf senantiasa bersahut
tangan dihulur bersambut
luka pun tidak lagi berparut.

Terusik juga Suara Merdeka apa dikongsi akan modennya pemikiran orang Johor.

Ia digambarkan melalui sejarah keluarga diraja dan tokoh-tokoh usahawan Islam profesional antaranya keluarga Al-Sagoff.

Sejarah keluarga itu agak gemilang, khususnya Syed Mohamed Ahmad Al-Sagoff (Nong Chik) sehinggakan beliau memiliki empayar perdagangan yang berkembang pesat di Johor, Singapura dan Eropah.

Bahkan, beliau pernah memiliki dan mengeluarkan matawang sendiri, Constantinople Estate yang hampir 40 tahun digunakan di Johor (sepanjang 1870 sehingga 1917).

Apatah lagi masyarakat Johor melihat Singapura sebagai persaingan, yakni republik itu sebuah negara maju dan moden. Kalau dulu-dulu orang Johor nak beli buah laici, kasut sukan, dia pergi ke Singapura sebab ada design terkini. Ia suatu pengaruh gaya hidup moden.

Ayuh! gilap, lahir dan ramaikan Melayu Kebangsaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button