Ayda Jebat turun berat sampai 45kg, sibuk jaga anak
PASANGAN selebriti, Ayda Jebat dan Nabil Mahir menyambut kehadiran cahaya mata perempuan mereka sejak dua bulan yang lalu dan pastinya pelbagai rasa bahagia dan teruja menjadi peneman di hati.
Menurut Gempak, Ayda mengakui melalui fasa yang mencabar dalam menguruskan anak perempuannya, Ana Nayla, lebih-lebih lagi ketika berpantang namun begitu perasaan itu hilang apabila dapat menatap wajah anak kesayangan.
“Jujurnya memang saya gembira dapat tengok anak, dapat main dengan dia dan dapat memanjakannya. Ibu mana di dunia ini yang tidak bahagia apabila sudah ada penceria dalam keluarga?
“Tapi disebabkan semua hal tentang anak saya cuba usaha untuk uruskan, berat badan saya turun dengan mendadak, mungkin kerana letih tapi saya sendiri terkejut sebab saya tidak diet pun tapi berat turun.
“Tak sangka pula, sebab apa yang saya lakukan hanyalah jaga Ana, berpantang dan makan banyak! Mungkin juga sebab menyusu badan, sebab itulah tahu-tahu berat turun sampai 45 kilogram,” katanya.
Dalam pada itu, dia tidak kisah jika beratnya turun atau penat menjaga anaknya, asalkan dia dapat meluangkan masa bersama dengan anaknya.
“Saya gembira dapat habiskan masa dengan Ana, tak kisahlah penat sikit, asalkan kami dapat melihat anak setiap masa dan menguruskan keperluannya,” ucapnya.
Tambahnya lagi, dia bersyukur dan bertuah kerana Nabil sentiasa ada dengannya dan membantunya menjaga anak.
“Kalau nak tahu, Nabil banyak jaga Ana. Memang kalau boleh semua hal tentang anak Nabil akan cuba selesaikan. Selalunya pun Nabil yang jaga, dia suruh saya rehat, tapi saya pula yang kurus,” katanya.
Ayda berkata dia ingin mengambil sikit lagi masa untuk berehat sehingga dia betul-betul bersedia sebelum kembali aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian.
Pasangan tersebut menerima kehadiran Ana Nayla pada 21 September lalu dan mula memperkenalkan anak perempuan mereka kepada umum secara rasmi seminggu kemudian.
Ayda dan Nabil melangsungkan perkahwinan pada 1 Januari lalu selepas bertunang secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – SM