Bola SepakSukan

Dua aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berakhir dengan seri

SEPARUH akhir Piala Malaysia menyaksikan perlawanan sengit antara pasukan Terengganu menentang Johor Darul Ta;zim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi berkesudahan seri 1-1.

Pada awal perlawanan lagi pasukan Terengganu telah mempamerkan persembahan bersemangat untuk memburu gol dengan gerak-gerak berbahaya daripada Jordan Mintah, Lee Tuck, dan Faisal Halim.

Gol perlawanan yang dicari akhirnya tiba apabila Mintah berjaya menanduk masuk gol hasil hantaran dari sebelah kiri oleh Tuck untuk menewaskan Farizal Marlias seawal separuh masa pertama di minit ke-8.

Bersambung di separuh masa kedua, JDT dilihat lebih dominan untuk menjana serangan berbanding Terengganu yang dilihat lebih berhati-hati dan menyerap segala asakan cuba dilakukan.

Bergson akhirnya membuka tirai jaringan buat pasukannya pada minit ke-50 setelah menerima umpanan cantik daripada Arif Aiman untuk menewaskan Suhaimi.

Keputusan permainan kekal dengan Terengganu dan JDT masing-masing membawa pulang bekalan 1 gol. Sedikit kelebihan buat pasukan JDT yang mendapat gol di tempat lawan.

Perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia akan berlangsung semula pada Jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi timbal balik.

Nasib yang serupa bagi KL City FC dan Melaka United apabila kedua pasukan terikat dengan keputusan 1-1 juga dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium KLFA, Cheras. KL City juga meneruskan rentak 21 perlawanan tanpa tewas di laman sendiri.

Walaupun cuba untuk memburu jaringan kemenangan di penghujung perlawanan, kegagalan jentera serangan tuan rumah yang digerakkan Romel Morales tampak jelas dalam perlawanan yang sedikit dikuasai lawan.

Seawal minit ke-8, Melaka United sudah membuka jaringan menerusi Adriano. Sepakan percuma dari luar kotak penalti yang diambil penyerang itu gagal dibaca oleh penjaga gol KL City, Kevin Mendoza yang hanya mampu melihat gawang golnya digegar lawan. Ia merupakan jaringan ke-4 Adriano dalam saingan Piala Malaysia.

Zhafri Yahya Berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-26 apabila menanduk masuk hantaran lintang kapten, Paulo Josue dari sebelah kiri gawang gol menewaskan Khairul Fahmi bagi The City Boys mengikat kedudukan.

Turun tanpa sebarang perubahan sebagaimana aksi suku akhir kedua sebelum ini, pengendali kedua-dua pasukan, Bojan Hodak dan Zainal Abidin Hassan meletak kepercayaan kepada barisan pemain sedia ada. Mungkin tidak mahu mengambil sebarang risiko, kedua-dua pasukan tentu mahu melakar satu lagi sejarah.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini akan bersambung di Stadium Hang Jebat pada 26 November ini dengan sedikit kelebihan buat Melaka United dan Zainal Abidin yang membawa bekalan satu gol di tempat lawan. – SM

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button