NasionalNegeri

Australia kagum transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Kuala Perlis

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee melahirkan kekaguman terhadap keindahan Kampung Nelayan Warna-Warni di Seberang Ramai, Kuala Perlis yang dilihat telah menjalani satu transformasi yang sangat baik.

Justin berkata, ini kerana masyarakat nelayan di kampung ini berusaha untuk melakukan terbaik bagi mencantikkan landskap, rumah selain menyediakan makanan yang enak.

Kampung transformasi ini telah diilhamkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda sulung Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Kemudian ia dibangunkan dengan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta pelbagai agensi, pihak swasta, individu serta masyarakat setempat.

Justin menjelaskan ini setelah melalui pengalaman menarik ini semasa pengagihan zakat oleh MAIPs pada golongan asnaf di perkampungan ini.

Beliau melahirkan kekaguman di atas usaha memperbaiki taraf hidup rakyat yang diterajui oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menerima mengadap Justin dan isteri, Jeane Lona di Istana Arau hari ini.

Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akahshah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Justin dan rombongannya melawat Perlis dua hari sejak semalam.

Selain itu Justin juga mengakui Perlis sangat luar biasa dengan keindahan alam semula jadinya yang diharapkan akan menarik rakyat Australia ke sini.

“Bukan itu saja, Perlis sangat luar biasa kerana makanan sedap seperti mangga dan pulut harumanis dan juga laksa,” katanya.

Beliau juga sempat berseloroh, “Saya makan sembilan kali sehari semasa berada di Perlis berbanding hari biasa antara tiga hingga empat kali sahaja.”

Katanya, ia perlu dicadangkan untuk rakyat Australia yang suka makan kerana Perlis adalah destinasi yang tepat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button