Nasional

Pasukan pengaman Malaysia di Congo selamat

PASUKAN pengaman Malaysia dalam Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) disahkan selamat dan tidak terjejas dalam pergolakan terbaharu di bahagian timur negara itu.

Terdapat kira-kira enam anggota tentera helmet biru Malaysia berpangkalan di beberapa lokasi di negara itu pada masa ini.

“Kesemua anggota kita di sana selamat dan tidak terjejas dengan pergolakan terkini. Paling dekat (mereka) berpangkalan kira-kira 200 km dari Beni.

“Kami sedang memantau keadaan keselamatan di sana dengan teliti,” kata sumber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Bernama.

Kira-kira 100 orang awam di kawasan Beni dilaporkan terbunuh berikutan pergolakan antara kumpulan pemberontak Angkatan Demokrat Bersekutu (ADF) dan tentera negara itu sejak akhir Oktober lepas.

Angka kematian yang semakin meningkat menyebabkan orang awam marah dan melakukan protes di jalanan, menuduh pihak berkuasa dan MONUSCO gagal menjaga keamanan di rantau itu.

Malaysia adalah antara 49 negara menyertai MONUSCO, satu daripada operasi pengaman terbesar di bawah PBB.

MONUSCO terdiri daripada kira-kira 16,500 anggota tentera dan pemerhati, 1,300 anggota polis dan sekurang-kurangnya 4,000 pemerhati awam. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button