Nasional

Asrama 29 tingkat untuk 12,000 pekerja asing membimbangkan nelayan Teluk Kumbar

CADANGAN untuk membina asrama setinggi 29 tingkat bagi menempatkan kira-kira 12,000 pekerja asing di Kampung Bagan membimbangkan komuniti nelayan di Taluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

Sekumpulan nelayan yang mengadakan sidang akhbar mengatakan mereka bingung tentang notis saat akhir yang diberikan kepada penduduk tentang projek itu.

Mereka bimbang akan menyebabkan kawasan perkampungan kecil pinggir pantai itu dibanjiri warga asing yang ada kemungkinan akan menimbulkan masalah sosial.

Ketua Unit Nelayan Gertak Sanggul, Datuk Chooi Sooi Kong berkata, pada minggu lalu pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan notis memberitahu penduduk tentang projek itu.

“Kami dapati keseluruhan projek itu membabitkan tiga blok bangunan tinggi – satu untuk komersial dan satu untuk kediaman sebagai pampasan kepada penduduk yang terjejas dan satu lagi untuk menempatkan pekerja asing,” katanya seperti yang dipetik daripada laporan Malay Mail.

Katanya, para nelayan dan penduduk yang terjejas tidak menentang keseluruhan projek itu, tetapi membantah sekeras-kerasnya komponen untuk menempatkan pekerja asing itu.

“Keseluruhannya 623 unit di satu bangunan 29 tingkat itu adalah untuk pekerja asing dan ini akan membawa kepada hampir kepada 12,000 pekerja asing di kawasan ini,” katanya.

Katanya, Taluk Kumbar dan jirannya Gertak Sanggul adalah perkampungan nelayan dengan tanah pertanian dan perniagaan berasaskan aquakultur dan mempersoalkan keputusan untuk membina asrama untuk pekerja asing yang kebanyakannya pekerja kilang.

“Ini bukan kawasan industri berat dengan kilang yang besar, semua kawasan ini terdiri daripada perkampungan nelayan dan kebun-kebun. Jadi, tidak ada justifikasi untuk menempatkan asrama pekerja asing di sini,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button