Nasional

Askar Wataniah penghubung masyarakat, anggota badan beruniform

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Rejimen Askar Wataniah sebagai jambatan penghubung antara masyarakat dan anggota-anggota badan beruniform.

Unit Komunikasi Awam Sarawaak (UKAS) melaporkan Abang Johari sebagai berkata, Rejimen Askar Wataniah merupakan barisan kedua dalam mempertahankan kedudukan negara daripada sebarang ancaman musuh negara, justeru ia dapat mendisiplinkan masyarakat dengan pengetahuan ilmu ketenteraan.

Malah jelasnya, penyertaan dalam Askar Wataniah dapat membentuk hubungan erat di antara rakyat dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Bagi saya Rejimen Askar Wataniah adalah penghubung di antara pasukan beruniform dengan orang yang tidak beruniform.

“Kita mempunyai asas yang sama, objektif yang sama. Sebab itu saya meminta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan pegawai-pegawai kanan kerajaan memasuki Askar Wataniah.

“Dan setidak-tidaknya ada perhubungan yang baik, jambatan di antara masyarakat dan kumpulan-kumpulan yang beruniform,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) Siri 35/2024 di sebuah hotel di sini, semalam.

Abang Johari berkata, semasa berhadapan dengan pandemik COVID-19, pihak perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan seperti tentera dan polis merupakan satu pasukan yang sanggup berkorban dalam menghadapi ancaman bagi memastikan keselamatan rakyat dan keamanan negara.

“Sebab itu ketika COVID-19 berlaku, kita ada Operasi Benteng dan dalam operasi tersebut saya telah bekerjasama dengan pihak tentera. – Utusan Borneo

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button