HiburanLuar NegaraMerrepak

Aset Datuk Seri Vida disita akibat hutang lebih RM1 Juta

IPOH – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan aset milik usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, disita selepas beliau gagal melunaskan hutang berjumlah lebih RM1 juta.

Menurut laporan mStar Online, writ penyitaan dan penjualan itu dilaksanakan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah, susulan permohonan oleh syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication Sdn Bhd, yang bertindak sebagai plaintif.

Hutang Tertunggak Sejak 2018

Difahamkan, penyitaan dilakukan pada jam 9 pagi tadi di kediaman Vida, sebuah banglo di Meru, Ipoh. Tindakan ini susulan kegagalan beliau menjelaskan baki tunggakan RM1,060,285 kepada syarikat berkenaan sejak tahun 2018.

Ah Design Communication sebelum ini dilantik oleh Vida untuk mengubahsuai bangunan pejabatnya, Vida All Star Studio, yang terletak di Elite Industrial Park, Seksyen 33, Shah Alam.

Barangan & Kenderaan Disita

Peguam plaintif, Samir Zainal, bersama bailif Mahkamah Tinggi Ipoh dan wakil Ah Design Communication, Mohammad Taufik, hadir ke lokasi untuk menyita keseluruhan barangan di rumah tersebut. Antara yang disita termasuk empat buah kenderaan mewah iaitu:

•Dua unit Toyota Vellfire

•Toyota Grand Hiace

•BMW X7

Menurut Samir, proses lelongan dijadualkan berlangsung pada 9 Disember 2024. Namun, ia boleh dibatalkan sekiranya Vida membuat pembayaran penuh dalam tempoh dua minggu.

“Dalam tempoh ini, tiada barangan atau kenderaan yang boleh dibawa keluar dari rumahnya,” katanya.

Usaha Selesaikan Tunggakan Gagal

Mahkamah Tinggi mendapati Vida gagal memberikan respons terhadap tuntutan bayaran ganti rugi yang difailkan pada tahun 2023. Oleh itu, penyitaan barangan dilakukan bagi menebus pampasan yang perlu dibayar kepada plaintif.

Mohammad Taufik menyatakan, tindakan menyita diambil kerana Vida tidak memberikan kerjasama sejak tuntutan dibuat pada tahun 2018.

“Kami sudah memberikan tempoh yang mencukupi, namun tiada usaha daripada pihak Vida untuk menyelesaikan perkara ini,” jelasnya.

Vida Tiada di Kediaman

Ketika proses penyitaan dijalankan, Vida dilaporkan tidak berada di rumah dan dipercayai berada di China.

Artikel ini akan dikemas kini sekiranya terdapat perkembangan terkini mengenai kes ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button