Artis veteran perlukan perhatian, bantuan
MELIHAT beberapa artis veteran yang satu ketika dahulu sentiasa menjadi tumpuan peminat tetapi kini hadir untuk menerima bantuan bukanlah sesuatu yang baharu dalam industri seni negara.
Kalau di luar negara seperti di Hollywood, artis-artis veteran disanjung, dinilai dengan bayaran yang tinggi. Tetapi berbeza dengan penggiat seni tempatan.
Kalau penyanyi, akan dibayar murah. Kalau pelakon, daripada yang utama akan beralih menjadi pelakon tambahan sahaja.
Jadi bila ada pihak berkenaan yang sudi memberi bantuan sama ada secara kewangan maka besar tapak tangan artis veteran untuk menerimanya.
Baru-baru ini, penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim tampil bersama dengan rakan baiknya, Datuk Rahmahjah Sulaiman Khan hadir memberi sumbangan kepada artis veteran.
Menurut Khadijah, sebanyak 50 artis vetera diberi bantuan daripada segi barangan dapur dan kewangan pada majlis sumbangan yang diadakan di Sentul itu.
Menariknya, Khadijah atau lebih dikenali sebagai Khaty memberitahu yang ini bukan kali pertama bantuan sebegini disalurkan kepada artis veteran.
“Sebelum ini sudah banyak kali kita beri bantuan kepada artis veteran. Cuma kita tidak uar-uarkan perkara tersebut.
“Biasanya jika kita dapat maklumat, kita akan kumpulkan bantuan dan salurkan terus ke semua rumah artis veteran,” katanya.
Namun menurutnya, majlis kali ini dibuat secara umum bukan untuk menunjuk baik atau sebagainya, sebaliknya hanya mahu mengajak lebih ramai berbuat kebaikan.
Jelasnya, dia berharap supaya sedikit hebahan berkaitan bantuan ini akan membuka peluang yang lebih untuk lebih ramai pihak memberi bantuan.
“Mereka ini (artis veteran) perlukan perhatian kerana mereka tidak bekerja. Tidak berlakon, menyanyi dan sebagainya. Jadi mana nak dapat mata pencarian?
“Disebabkan itu saya berusaha untuk memberi dan akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan,” katanya.
Antara artis yang hadir menerima bantuan ialah Rashidah Jaafar, Saharuddin Thamby dan Norlia Ghani. -SM