Apakah makna semangat setiakawan Muhyiddin?
KERJASAMA dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuahkan hasil apabila pakatan itu memenangi Pilihan Raya Neger (PRN) Sabah dengan majoriti mudah.
Kerjasama gabungan itu sekali lagi diuji dalam menentukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan diangkat menjadi Ketua Menteri Sabah.
Akhirnya, semua yang menang bersama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sepakat memilih ADUN daripada PN.
Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipilih menjadi Ketua Menteri.
Walaupun begitu, pemilihan Hajiji dianggap memilukan bagi UMNO yang menganggap itu sebagai satu pengorbanan demi semangat setiakawan bersama GRS.
Malah, ramai pemimpin UMNO menganggap kemenangan parti itu di Sabah sebagai kemenangan yang memedihkan kerana berjaya memiliki kerusi terbanyak berbanding Bersatu.
Namun begitu, semangat tersebut dihargai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi sudah pasti pengorbanan itu perlu dibayar.
“Persepakatan ini membuktikan kerjasama erat parti-parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang PN Sabah baru-baru ini mendapat sokongan rakyat negeri ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan seluruh ADUN daripada PN, BN dan PBS yang bersetuju mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
“Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah.
“Saya juga berdoa semoga Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.”
Kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya malam tadi.
Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah menegaskan bahawa tampuk Kerajaan Negeri Sabah mesti datang dari UMNO.
Justeru, kenyataan tersebut turut disambut beberapa pemimpin UMNO dan BN yang mendesak supaya sokongan kepada Muhyiddin ditarik balik.
Bagaimanapun, mereka tetap berjiwa besar seperti dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta semua kembali mengutamakan rakyat.
Namun, sesuatu juga perlu dilakukan Muhyiddin untuk memastikan sokongan daripada UMNO terhadapnya kekal sebagai Perdana Menteri.
Sebagai makluman, Suara Merdeka sebelum ini melaporkan Hajiji dijangka mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hari ini bagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah baharu. – SM