Analisis

Apa sudah jadi dengan Justin Trudeau?

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, antara pemimpin muda dunia yang dikagumi kini menjadi musuh kepada negara sendiri.

Daripada seluruh dunia kagum dengan pemimpin muda itu, kini beliau dianggap hanya mampu `sembang kari’ kerana gagal menguruskan negara dengan baik.

Ia berpunca daripada kegagal beliau membuat congakan nisbah kemasukan imigran dengan keadaan ekonomi Kanada.

Kanada memang dasar imigran yang dinamik kerana meletakkan asas kepada meritokrasi sebagai perkara pokok kemasukan imigran.

Matlamatnya adalah untuk menarik seramai mungkin orang asing berhijrah ke negara ke negara berkenaan dan sekaligus membantu memajukan Kanada.

Bagaimanapun dek kerana tersalah congak pada tahun lalu Kanada telah membawa sejuta imigran menjadikan populasi penduduk negara itu daripada lebih 38 juta kepada hampir 40 juta orang.

Langkah drastik itu diambil kerana Kanada memang memerlukan tenaga kerja yang banyak berikutan pertumbuhan pesat yang dialaminya.

Bagaimanapun pertambahan penduduk sebanyak 2.7 peratus adalah paling tinggi sejak 1957 dasar imigran Kanada diperkenalkan.

Pertambahan mendadak itu menyebabkan pelbagai masalah sosial seperti kekurangan perumahan, kos sara hidup yang meningkat kerana permintaan meningkat mendadak, pengangkutan awam yang tidak mencukupi serta masalah perkhidmatan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan kepada penduduk.

Trudeau akhirnya mengakui kesilapannya dan berusaha memperbaikinya, tetapi kelihatannya sudah terlambat apabila parti yang menjulang beliau sendiri akan mengadakan undi tidak percaya terhadap beliau.

Reuters melaporkan dijangka beliau akan kehilangan kuasa seawal tahun depan selepas sekutu utamanya mengumumkan rancangan untuk menggulingkan kerajaan minoriti Liberal dan mencetuskan pilihan raya.

Jagmeet Singh, pemimpin Parti Demokrat Baru (NDP) yang telah membantu mengekalkan Trudeau di jawatan, berkata beliau akan mengemukakan usul undi tidak percaya secara rasmi selepas Dewan Rakyat negara tersebut kembali bersidang pada 27 Januari.

Jika semua parti pembangkang menyokong usul tersebut, Trudeau akan disingkirkan selepas lebih sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, dan pilihan raya akan diadakan.

Beberapa tinjauan pendapat sejak 18 bulan lalu menunjukkan Parti Liberal mengalami penurunan sokongan disebabkan kemarahan pengundi terhadap krisis perumahan yang melambung tinggi.

Parti Konservatif yang berhaluan kanan dijangka menang besar.

NDP, yang turut menyasarkan sokongan pengundi berhaluan tengah-kiri, menuduh Trudeau terlalu tunduk kepada kepentingan perniagaan besar.

“Tidak kira siapa yang memimpin Parti Liberal, masa untuk kerajaan ini sudah tamat. Kami akan membentangkan usul tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang,” kata Singh.

Sementara itu, Pemimpin pembangkang terbesar,Parti Bloc Quebecois berjanji akan menyokong usul tersebut dan menyatakan Trudeau tidak mempunyai peluang untuk kekal berkuasa.

Parti Konservatif pula merancang meminta Gabenor Jeneral Mary Simon, wakil rasmi Raja Charles, ketua negara Kanada untuk memanggil Parlimen mengadakan undi tidak percaya sebelum akhir tahun.

Bagaimanapun, Pakar Perlembagaan menjangka Simon akan menolak permintaan itu.

“Kita tidak boleh membiarkan kerajaan dipimpin secara kacau-bilau dan meleset.

“Jelas bahawa Justin Trudeau telah kehilangan kepercayaan Parlimen,” kata ketua Konservatif, Pierre Poilievre.

Trudeau menghadapi tekanan selepas peletakan jawatan mengejut menteri kewangan minggu ini. Bagaimanapun, selepas pengumuman Singh, Trudeau yang tersenyum menghadiri rombakan kabinet tanpa memberi sebarang komen.

Trudeau juga membatalkan temu bual akhir tahun bersama media utama dan mengelak bercakap tentang peletakan jawatan Chrystia Freeland, bekas menteri kewangan.

Undi untuk belanjawan dan perbelanjaan lain dianggap sebagai ujian kepercayaan.

Parti pembangkang juga boleh menggunakan beberapa hari khas dalam sesi Parlimen untuk membentangkan usul termasuk undi tidak percaya.

Langkah Singh membawa risiko politik kerana tinjauan menunjukkan bukan sahaja Liberal akan kalah teruk, tetapi NDP juga menghadapi keputusan yang lemah.

Ketua Pegawai Eksekutif firma tinjauan Ipsos-Reid, berkata Singh melihat peluang untuk menggantikan Liberal sebagai pilihan utama pengundi yang menentang Konservatif.

“Menunggu dan memberi peluang kepada Liberal dan Trudeau untuk pulih adalah tindakan yang tidak bijak,” katanya melalui e-mel.

Sebelum pengumuman Singh, sumber yang rapat dengan Trudeau berkata perdana menteri itu akan menggunakan cuti Krismas untuk memikirkan masa depannya dan mungkin tidak akan membuat keputusan sebelum Januari.

Pemimpin Parti Liberal dipilih melalui konvensyen khas yang memerlukan beberapa bulan untuk diatur. Langkah Singh untuk bertindak pantas bermakna jika Trudeau berundur sekarang, Liberal tidak dapat mencari pemimpin tetap sebelum pilihan raya dan terpaksa bertanding di bawah pemimpin sementara, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah Kanada.

Krisis berkenaan berlaku pada masa kritikal, kerana Presiden A.S. yang baru dipilih, Donald Trump, dijangka memegang jawatan pada 20 Januari dan merancang mengenakan tarif 25% ke atas semua import dari Kanada.

Langkah tersebut akan memberi kesan besar kepada ekonomi Kanada.

Perdana menteri dari 10 wilayah di Kanada sedang berusaha untuk membentuk pendekatan bersatu terhadap tarif tersebut tetapi mengadu tentang apa yang mereka panggil sebagai kekacauan di Ottawa.

Pengumuman Justin Trudeau pada Jumaat akan melakukan rombakan Kabinetnya, sebagaimana dilapor Xinhua, tidak akan menyelesaikan masalah.

Menurut senarai yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri, lapan menteri baharu telah dilantik manakala portfolio empat menteri sedia ada diubah.

Dengan rombakan ini, Kabinet kekal terdiri daripada 38 menteri dan terus mengekalkan jumlah yang sama antara lelaki dan wanita, selaras dengan amalan yang dimulakan pada 2015.

Sejak Julai lalu, sembilan menteri mengumumkan peletakan jawatan atau tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya persekutuan yang akan datang.

Menurut Trudeau dalam satu kenyataan media, Kabinet baharu ini akan memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting kepada rakyat, termasuk menjadikan kehidupan lebih mampu milik dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pasukan baharu ini juga akan terus memberi tumpuan mengenai isu perumahan, penjagaan kanak-kanak, dan program makanan sekolah sambil berusaha menambah pendapatan rakyat, kata perdana menteri.

Ketua Parti Demokratik Baharu Jagmeet Singh pada Jumaat menyiarkan surat terbuka kepada rakyat Kanada di media sosial, mengumumkan bahawa partinya akan mengemukakan usul tidak percaya untuk menggulingkan kerajaan Trudeau pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 27 Jan.

Di tengah krisis yang terjadi di Kanada, Donald Trump kembali menegaskan bahawa banyak warga Kanada yang menginginkan Kanada tetap menjadi negeri ke-51 AS.

Donald Trump kembali memberikan dorongan pada pertikaian di negara ke-51 itu dan tindakan itu ibarat mencurah minyak ke dalam api.

Jadi apa yang perlu kita pelajari daripada krisis yang dialami oleh Trudeau dan Kanada adalah supaya sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan dasar khususnya membabitkan imigran.

Mungkin kerana sedar situasi itu juga kerajaan kini lebih berhati-hati dengan kemasukan imigran ke negara ini dan menaikkan gaji kakitangan awam termasuk yang telah pencen dan pada masa yang sama menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700 bagi memastikan rakyat dapat mengharungi kenaikkan kos sara hidup kerana faktor luar kawalan global.

Faktor peperangan, perubahan iklim dan pasca pandemik sukar diramal dengan tepat, tetapi kerajaan telah mengambil langkah awal termasuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan terjangkau oleh rakyat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button