Apa sudah jadi dengan Felda sampai kena pungut derma
Felda tidak pernah memaksa peneroka untuk “bersedekah” sebanyak RM300, kata Pengerusi Felda Idris Jusoh.
Ia susulan surat yang tular membabitkan Felda Sungai Tekam Utara, Pahang berhubung kutipan derma RM300 daripada peneroka di kawasan berkenaan.
Menurut laporan FMT, surat berkenaan diedarkan kepada peneroka pada 14 Oktober lalu.
“Dalam sedekah tidak ada paksaan,” kata Idris ringkas kepada portal berkenaan.
Surat itu menyatakan, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Jengka 19 dipilih menjadi perintis bagi program “Jom Sedekah” dilancarkan Felda.
Menurut surat dengan cop pengerusi jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran kampung Felda Sungai Tekam Utara menyatakan, Idris melalui program “Well Formed Outcome” memberitahu antara perkara dititikberatkan dalam usaha mengembalikan kestabilan Felda adalah elemen “keberkatan”.
Surat itu turut menyatakan, setiap peneroka diwajibkan ke atas diri masing-masing menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang.
Sementara itu NST melaporkan kutipan dibuat secara bulanan sebanyak RM50 sebulan bermula dari Oktober 2020 hingga Mac 2021.
Sumbangan itu kemudian akan dikumpulkan oleh jawatankuasa masjid Felda Sungai Tekam Utara untuk diedarkan kepada agensi yang memerlukan melalui program khas yang akan diadakan pada bulan Ramadan tahun depan.
Tidak jelas siapa yang menandatangani surat berkenaan.
Terdahulu, Adun Ketari Young Syefura Othman memuat naik surat itu di Twitter miliknya dan mempersoalkan mengenai arahan mewajibkan peneroka bersedekah demi mencari “keberkatan” dalam usaha memulihkan Felda.
:Peneroka Felda disuruh bersedekah demi mencari ‘keberkatan’ dalam usaha memulihkan Felda. Apa kata hukum dan denda orang-orang yang buat onar kepada Felda dulu?” kata beliau.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) Mazlan Aliman berkata, walaupun bersedekah merupakan amalan mulia dan dituntut dalam Islam, tindakan mewajibkannya adalah unsur paksaan dan keterlaluan.
“Dalam situasi pendapatan dan pelbagai potongan dikenakan ke atas peneroka, apatah lagi kesan Covid-19 dan kos sara hidup yang tinggi, saya menggesa pekeliling ini ditarik balik,” katanya.