Analisis

Apa makna PRN ini kepada UMNO?

Oleh: DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB

Malayan Union yang menekan orang Melayu telah menyaksikan kebangkitan rakyat sehingga lahirnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau ‘United Malays National Organization’ (UMNO) yang berjuang untuk menjaga watan dan ibu pertiwi.

UMNO berjaya menyatukan seluruh tenaga rakyat progresif yang terdiri daripada nasionalis kanan dan kiri Melayu. Biarpun mereka berbeza dari segi ideologi serta pendirian tetapi tetap bersama dalam usaha untuk menolak idea penjajah.

Semangat kebangsaan yang diperjuangkan oleh UMNO telah berjaya menyatukan umat Melayu dan mempertahankan hak mereka yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menjadi tanggungjawab kepada kepemimpinan UMNO untuk mengekalkan perjuangan nasionalisme sejati dalam membina serta memandu negara ini.

Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.

Oleh kerana nasionalisme UMNO berbentuk progresif, atas perhitungan itulah UMNO bersedia menerima MCA dan MIC sebagai rakan dalam PERIKATAN semasa pilihan raya umum 1955.

Selepas lebih 60 tahun membangunkan negara dengan mengecapi pelbagai kejayaan, UMNO  menghadapi krisis keyakinan rakyat, ditolak oleh orang Melayu melalui peti undi.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah membuktikannya.

UMNO telah mencatatkan prestasi terburuk, hilang pengundi teras, dianggarkan hanya 27 peratus pengundi melayu yang mengundi gabungan BN/PH.

Gabungan Pas, Bersatu dan Gerakan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) berjaya menarik 73 peratus sokongan pengundi Melayu pada PRN ini.

Pengaruh UMNO di Malay Belt atau lingkaran Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu – sangat kritikal seperti pesakit di ICU. UMNO hanya mampu menang satu kerusi. Hilang 20 kerusi jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Negeri Kedah yang selalunya menyaksikan persaingan sengit antara UMNO dan PAS kini menjadi persaingan berat sebelah. Analisa awal menunjukkan sokongan pengundi Melayu di Kedah kepada PH-BN hanyalah 17 peratus.

Di mana PN telah memenangi 21 DUN dengan majoriti lebih 10,000 undi manakala empat DUN dengan majoriti lebih 20,000 undi.

UMNO Kedah pernah melahirkan dua orang Perdana Menteri, almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir Mohamad kini tidak mempunyai satu kerusi pun di peringkat Parlimen dan DUN.

Nasib UMNO Terengganu sama dengan UMNO Kedah. Tidak ada satu kerusi pun berjaya dimenangi.

UMNO Pulau Pinang dan Selangor mengalami nasib yang sama. Di Pulau Pinang, sokongan orang Melayu kepada PN meningkat 14 peratus daripada 54 peratus pada PRU 15 kepada 69 peratus pada PRN baru-baru ini.

UMNO hanya menang dua kerusi DUN iaitu di Bertam dan Sungai Aceh. Untuk rekod, kedua-dua kerusi ini sebelumnya diwakili oleh PH.

Di Selangor UMNO turut memenangi dua kerusi. Namun hanya satu kerusi tradisional UMNO iaitu di Sungai Air Tawar yang dimenangi oleh Datuk Rizam Ismail. Manakala kerusi Dusun Tua yang dimenangi oleh Datuk Johan Aziz merupakan kerusi DAP yang ‘disedekahkan’ kepada UMNO.

Lebih membimbangkan trend kemerosotan undi Melayu kepada UMNO kini turut merebak ke Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri yang tidak terjejas dengan gelombang peralihan undi Melayu dalam PRU15, kini turut menerima tempiasnya.

Terdapat 10 kerusi PN tewas dengan majoriti di bawah 1,000 undi, di mana tiga daripadanya kalah di bawah 700 undi, tiga di bawah 600 undi, dua kerusi di bawah 300 undi, DUN Kota kalah dengan majoriti 132 undi manakala Juaseh mencatatkan majoriti terkecil 78 undi.

Dalam PRU15, UMNO menang lima daripada lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan tanpa menampakkan sebarang tanda kehadiran PN akan menjadi sesuatu yang signifikan.

Tetapi jika dianalisis dengan lebih mendalam. UMNO Negeri sembilan hanya menunggu masa untuk mengikuti jejak negeri-negeri lain.

PN pula menang di lima kerusi DUN Negeri Sembilan dan mencatatkan peningkatan undi yang sangat signifikan.

Melihat kepada semua keputusan di atas seolah-olah UMNO terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Jangan membiarkan nasib UMNO persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya.

Apakah UMNO masih relevan untuk orang Melayu?

Apakah langkah seterusnya untuk UMNO?

Kita tewas dalam PRU15 kerana kelemahan kepemimpinan tertinggi parti. Ada gabungan kelemahan imej personaliti dan strategi. Masalah personaliti tertentu tidak perlu dihuraikan kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum.

Di samping itu, kepemimpinan tertinggi parti menggugurkan ramai tokoh-tokoh besar yang sepatutnya menjadi calon membolehkan kemenangan kepada mereka dan menyumbang kepada parti.

Justeru, pengundi hilang kepercayaan kepada BN dan melihat penamaan ‘poster boy’ seolah-olah seperti sandiwara.

Kali ini (PRN), UMNO kalah lebih dahsyat. Kemarahan orang Melayu kepada UMNO bukannya makin berkurangan, malah bertambah marak seperti api membakar jerami.

Kekalahan yang dahsyat ini adalah manifestasi kemarahan serta kebencian pengundi Melayu malah terdapat dalam kalangan pendokong serta ahli parti.

Punca yang sebenar penolakan pengundi Melayu bila mereka menafsirkan UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal. Lebih parah kepemimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah.

Lebih buruk apabila kepemimpinan tertinggi mengheret UMNO untuk bersama DAP malah menggesa supaya jentera bekerja dan mengundi parti itu.

Justeru, UMNO memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan,  menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

Cara berkempen seperti ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kepada ahli-ahli sendiri perlu dihentikan. Jentera parti perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya  ‘berdakwah’ kepada ahli sendiri.

Media sosial harus dikuasai sepenuhnya kerana ia adalah alat kempen yang paling berkesan pada masa kini.

Kepemimpinan tertinggi perlu mendengar sama ada anjuran atau desakan daripada akar umbi termasuk sesuatu yang pahit untuk ditelan. Misalnya, gesaan untuk melepaskan jawatan sepertimana yang berlaku sekarang.

Ruang dan masa dalam merencanakan pemulihan UMNO semakin singkat dan genting.

Untuk pulih UMNO, memerlukan kepimpinan yang dinamik, berkebolehan dalam mengembalikan idealisme perjuangan parti.

Sejarah telah mengajar kita. Lihat kembali bagaimana dan kenapa UMNO ditubuhkan 77 tahun lalu.

Semoga parti yang saya cintai ini bukan sahaja bangkit malah kembali memimpin negara. – UTUSAN MALAYSIA – SM

BACA PRN bakal penentu akar umbi terima DAP atau tidak – Ismail Sabri

BACA UMNO darah daging Ismail Sabri, tentu turun padang berkempen

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button