Apa itu SL1M: Najib kongsi foto Drama Band
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi foto kumpulan Drama Band memakai baju tertera tulisan SL1M
Kumpulan itu teruk disindir warganet di media sosial selepas menjadikan karakter Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai bahan persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL34) malam tadi.
Dalam hantaran di Facebook Najib berkata, SL1M atau Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 Jun 2011.
Program itu memberi manfaat kepada para graduan yang menganggur bagi meningkatkan keupayaan serta kebolehan diri graduan dengan ilmu, kemahiran serta pengalaman bekerja.
Jelas Najib, graduan yang menyertai program itu perlu menjalani Soft-Skills Training serta On-The-Job Training di syarikat yang terpilih.
SL1M menunjukkan kesan positif apabila seramai 3,879 peserta telah mendapat pekerjaan tetap semasa tempoh program berlangsung.
Hampir 43 peratus berjaya diserap serta diterima bekerja di syarikat yang terlibat, manakala sebanyak 57 peratus graduan yang terlibat telah mendapat tawaran pekerjaan dari syarikat luar.
“Program SL1M telah mendapat pengiktirafan antarabangsa di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Belanda dan Korea Selatan turut mengundang Sekretariat SL1M ke negara mereka untuk berkongsi pengalaman serta manfaat SL1M kepada mereka.
“Negara-negara lain seperti Oman, Sri Lanka dan Colombia turut tertarik dengan modul SL1M dan mengaplikasikannya di negara mereka,” kata Najib.
Setiap graduan yang menyertai program SL1M juga menerima elaun bulanan minimum RM1,500 sebulan dan seterusnya dinaikkan kepada RM 2,000 sebulan.
Persembahan kumpulan Drama Band di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL34) malam tadi menerima cemuhan warganet apabila menampilkan dua karakter lelaki dan wanita disolek seperti watak Joker.
Karater lelaki mengenakan suit berwana keunguan, baju lengan panjang putih dan bertali leher merah seperti yang selalu dikenakan Najib.
Manakala karakter wanita pula berbaju kurung dan bertudung berwarna merah dan sarat dengan barang kemas sambil memegang beg seperti lagak Rosmah menjadi perhatian penonton.
Hantaran terbaharu kumpulan itu di Facebook mereka sebelum persembahan di AJL berlangsung 14 jam lalu mendapat hampir 19,000 komen dengan rata-rata warganet tidak senang dengan unsur politik dalam persembahan Drama Band.-SM