Apa Hadi telah buat?
TINDAKAN Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengkritik keras Arab Saudi berhubung konflik Palestin-Israel dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara berkenaan.
Presiden Pas itu sepatutnya menjaga hubungan baik kedua-dua buah negara dan bukan bertindak mengkritik dengan menuduh Arab Saudi, negara-negara Arab yang melaksanakan normalisasi terhadap Israel serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) .
Beliau perlu belajar ilmu diplomatik kerana itulah tanggungjawab yang dipikul oleh beliau hari ini.
Beliau tidak seharusnya memburukkan hubungan kedua-dua buah negara yang sepatutnya sejak sekian lama sangat akrab.
Diharapkan menteri luar bahkan perdana menteri melakukan sesuatu bagi memperbetulkan situasi itu.
Dalam kenyataan itu Hadi turut mendakwa institusi agama di Arab Saudi juga dipergunakan manakala golongan ulamanya ditekan.
“Golongan Zionis yang tergamam dengan kebangkitan semula Islam, gagal melekakan umat Islam dengan khutbah-khutbah yang diatur sehingga mimbar masjid-masjid di Makkah dan Madinah juga dipergunakan.
“Para imam dan ulama yang tidak patuh dengan arahan akan disekat atau ditahan, sebahagian daripada mereka hari ini masih meringkuk dalam tahanan, termasuklah wakil Hamas yang sedang sakit tenat,” katanya.
“Bagi negara-negara yang melakukan normalisasi terhadap Israel, hendaklah mereka semua kembali ke pangkal jalan.
“Seruan ini secara khusus ditujukan kepada Arab Saudi yang bergelar khadam dua tanah haram (tanah suci), supaya membebaskan para imam masjid-masjid di Makkah termasuklah para ulama, ilmuwan dan pemimpin masyarakat yang berani bercakap kerana benar,” katanya.
Kritikan berkenaan juga dikhuatiri menjejaskan peluang Malaysia untuk menghantar jemaah haji pada musim ini sedangkan Arab Saudi merancang untuk membuka kepada 60,000 menunaikan haji pada musim ini.
Seramai 45,000 jemaah dari luar dan 15,000 lagi jemaah dari dalam negara.
Malaysia dan Indonesia adalah dua buah negara Islam yang setiap tahun menghantar jumlah jemaah yang besar.
https://twitter.com/haramaininfo/status/1396282399558971398?s=24