Anwar tidak layak dinamakan calon PM sehingga selesai kes Yusoff Rawther
Pengumuman pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar dibuat ketika pemimpin PKR itu masih berdepan kes di Mahkamah Tinggi atas tuntutan Yusof Rawther terhadap Anwar Ibrahim bagi serangan seksual yang dikatakan berlaku pada tahun 2018 di kediaman pemimpin berkenaan.
Yusof Rawther, bekas pembantu Anwar, memfailkan kes sivil ini terhadap Anwar pada 14 Julai 2021, dan kes ini masih sedang dibicarakan di Mahkamah.
Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, tambahan pula, pada 19 Oktober 2022, Yusof Rawther telah menang suatu kes saman yang berkaitan dengan isu ini terhadap setiausaha akhbar Anwar. Mahkamah memerintahkan gantirugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusof.
Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan bahawa apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah-laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri dari sebarang pilihanraya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah tersebut. Ini adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara.
“Oleh demikian, adalah mengejutkan dan amat tidak wajar bagi Pakatan Harapan untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebelum selesainya kes mahkamah saudara Yusof Rawther terhadap beliau. Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai perdana menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara,” kata beliau yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Dalam keadaan ini, adalah terpulang kepada Pakatan Harapan untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan perdana menteri. Mereka perlu menghormati proses pilihanraya negara dengan memastikan semua calon, terutamanya calon PM adalah bersih dan penuh integriti.
Sehingga mahkamah tinggi memberi suatu keputusan dalam kes Yusoff Rawther, Anwar Ibrahim tidak layak dinamakan calon Perdana Menteri Malaysia.