Anwar sahut cabaran Najib dalam debat Sapura Energy
DATUK Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat mengenai usaha menyelamatkan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).
Ketua Pembangkang itu yang juga Presiden PKR berkata, beliau bersedia untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan itu bila-bila masa sahaja.
Baca juga > Rafizi bidas Najib isu Sapura: Najib ‘tembak’ balik
“Saya mengambil maklum cabaran debat yang dilemparkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak,” kata Anwar dalam catatan di akaun Facebook rasminya pada Isnin (4 April).
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata pendiriannya mengenai perbahasan konsisten sejak 10 tahun lalu kerana beliau pernah melemparkan cabaran serupa kepada Najib sebelum ini tetapi ia tidak diterima.
“Kini beliau telah memilih untuk mencabar saya pada awal bulan Ramadan selepas gagal menangani bantahan Rafizi Ramli mengenai isu penyelamat Sapura pada masa rakyat miskin dan peniaga kecil tidak dijaga,” kata Anwar.
Baca juga > Kenyataan Rafizi lemah, Sapura hanya menjadi GLC pada 2019 – Najib
Pada Ahad, Najib dilaporkan berkata beliau akan menerima cabaran bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi untuk berdebat jika Anwar turut serta.
Rafizi sebelum ini mencabar Najib untuk berdebat mengenai isu Sapura Energy. – SM