Politik

Anwar penyelamat UMNO

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyelamatkan UMNO apabila membawa parti berkenaan ke dalam kerajaan perpaduan.

Perdana Menteri berkata, UMNO ketika di dalam kerajaan Perikatan Nasional telah cuba diharamkan oleh menteri dalam negeri sendiri.

Begitu juga, jelas beliau, para pemimpin UMNO telah diheret ke mahkamah atas motif politik dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Kini, kata Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Oleh itu, beliau mengingatkan pemimpin pembangkang jangan terlalu ghairah menggelar pemimpin di dalam kerajaan dari kluster mahkamah, kerana mereka juga ada kes mahkamah yang perlu dihadapi.

Anwar juga ketika berkempen sempena pilihan raya negeri semalam, turut menyuarakan sikap kerajaan sebelum ini yang membeku akaun parti UMNO dan kini parti Bersatu turut berdepan tindakan yang sama.

Anwar dalam pada itu dalam hantaran ke media sosial memberitahu, malam tadi beliau ke Bandar Baru Bangi dalam majlis Jelajah Perpaduan Madani dengan diapit Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor, selain beberapa menteri kabinet dan pimpinan negeri.

“Saya sentuh beberapa perkara. Antaranya, saya turut mempersoalkan naratif yang cuba dilemparkan ke arah Kerajaan Perpaduan setakat ini. Sehingga kini belum ada kritikan yang bernas dan membina dari pihak sana,” katanya.

Katanya, serangan demi serangan hampir setiap hari hanya berbentuk adu domba dan fitnah yang diulang-ulang, dan ini tidak mengejutkan tatkala rakyat dan negara telah saksikan dalam beberapa siri sidang Parlimen yang lalu betapa kontang dan lemahnya isu yang cuba dibawa oleh pembangkang.

“Saya turut menggunakan pentas semalam untuk menjelaskan mengenai keputusan atau langkah kerajaan mengenai Felda dan nasib peneroka, selain mencerakinkan usaha kerajaan dalam meningkatkan pelaburan, meredakan kadar inflasi ke 2.8%, dan melonjak pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2023 melebihi negara tetangga di rantau ini.

“Rakyat dan negara ini perlukan kestabilan, dan kestabilan penting untuk kita paculkan sebuah tatanan contoh yang kuat ekonominya dan rakyatnya yang bersatu padu yang tidak dipecahkan dengan adu domba perkauman dan agama,” katanya.

Kestabilan, katanya, tidak mungkin kita terjemahkan dengan baik sekiranya setiap minggu, setiap bulan rakyat dihidangkan dengan cerita gerakan dalam gelap untuk menumbangkan kerajaan.

Kata beliau sekiranya berani dan benar “dah cukup jumlah”, gunakan saluran yang betul dan demokratik melalui Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen dan kerajaan bersedia berdepan dengannya.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button