Politik

Anwar patut manfaat masa sekarang buktikan sokongan

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar memanfaatkan masa sekarang bagi mengumpul dan membuktikan sokongan sebenar Ahli Parlimen.

Ini termasuklah mendapatkan tandatangan atau perakuan bersumpah (SD) bagi membuktikan sokongan yang diterimanya benar-benar tulen.

Jika itu gagal dilaksanakan, bermakna pengumuman yang dibuatnya di Hotel Le Meridien di Kuala Lumpur Rabu lalu hanyalah wayang politik beliau.

Hal berkenaan juga digesa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Anwar dikatakan tidak menyatakan dengan tepat individu Ahli Parlimen yang benar-benar menyokong beliau.

“Dia membuat kenyataan dan apabila kita tanyakan siapa yang sokong dia dan siapa yang telah memberikan SD untuk menyokong dia, dia tidak menjawab, dia kata tunggu lagi.

“Tetapi setakat hari ini saya sendiri pun tidak tahu, kenyataan itu mungkin betul mungkin tidak.

“Dalam beberapa hari selepas pengumuman itu, banyak kenyataan daripada Ahli Parlimen UMNO menafikan.

“Mereka tidak masuk dalam senarai itu.

“Dengan jawapan yang menafikan itu, saya menjadi lebih ragu-ragu lagi adakah ia betul atau hanya kenyataan politik.”

Demikian kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berucap hari ini ketika hadir kempen Perikatan Nasional di Tambunan, Sabah.

Beliau berkata demikian menggesa Anwar segera membuktikan sokongan yang didakwanya dimiliki bagi membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu, memetik laporan Kosmo! Online, Anwar dilaporkan perlu menunggu sekurang-kurangnya tujuh hari untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Ini kerana, baginda masih lagi menerima rawatan dan rakyat Malaysia diminta untuk mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.

Anwar yang juga Presiden PKR sebelum ini mendakwa, kerajaan pimpinan Muhyiddin terbubar ekoran beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Bagaimanapun, kenyataan Anwar dinafikan oleh Ali Parlimen Pagoh itu yang menjelaskan beliau masih lagi Perdana Menteri yang sah.

Malah, Muhyiddin turut menyatakan sudah membuat rujukan dari segi perundangan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengenai kedudukannya itu.

“Mungkin apabila Yang di-Pertuan Agong sudah ditunjukkan bukti kalau ada.

“Maka tentu Agong titah supaya saya menghadap baginda tetapi sampai sekarang saya tidak dipanggil,” tempelaknya.

Terdahulu Anwar hadir dalam sidang akhbar pada Rabu lalu ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, tiada kelibat pemimpin lain dalam Pakatan Harapan hadir sama dalam sidang akhbar tersebut.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan membuat kenyataan sedemikian kali ketiga selepas kali pertama mendakwa mempunyai majoriti pada September 2008. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button