Politik

Anwar gesa penduduk Semenanjung teladani toleransi rakyat Sabah

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penduduk di Semenanjung untuk meneladani sikap toleransi antara kaum yang diamalkan oleh rakyat Sabah.

Menurut Anwar, dia begitu tersentuh dengan perpaduan antara kaum dan suku kaum yang sangat bersatu hati di negeri itu.

Katanya, daripada sibuk mencari perbezaan, penduduk di Semenjung perlu mencari titik persamaan.

“Saya begitu tersentuh dengan perpaduan antara kaum dan suku kaum yang sangat bersatu hati di sana, serta kesatuan mereka dalam membawa agenda/misi perubahan.

“Atas semangat yang sama saya menggesa rakyat di Semenanjung untuk meneladani sikap toleransi mereka antara kaum.

“Dari sibukkan diri dengan mencari titik perbezaan dan perbalahan, adalah lebih baik kita sama sama cari titik persamaan dan pastikan Malaysia ini kekal toleransi dan terus menerus menjaga kerukunan,” kata Anwar.

Anwar tiba di Sabah semalam untuk menyertai kempen Pilihan Raya Negeri Sabah bagi memangkan calon-calon Parti Keadilan Rakyat.

Beliau turut pergi ke Sook, Klias, Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Api-Api dan Inanam untuk berkempen bersama calon-calon PKR.

“Jutaan penghargaan buat rakyat Sabah terutamanya kepada mereka yang turut memberikan sokongan padu dan dukungan hebat sepanjang siri jelajah saya,” kata Anwar.

Anwar berkata, beliau turut berdukacita memikirkan khazanah dan hasil bumi Sabah yang begitu pelbagai namun nasib rakyat di pedalaman yang masih hidup dalam keadaan yang daif dan melarat.

Menurut Anwar, situasi tersebut sangat tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak harus dilihat dan diiktiraf sama rata dalam pelbagai aspek terutama aspek pembangunan.

“Mereka bukan orang asing tapi adalah saudara dan rakan kita dalam membina Malaysia yang menjanjikan kesaksamaan dan keadilan.

“Ayuh, bersama kita angkat agenda reformasi, dan ini bermakna menolak politik sogok dan perkauman di Malaysia, terutamanya di Sabah. Lawan tetap lawan!” kata Anwar.

PKR meletakkan tujuh orang calon pada PRN Sabah iaitu Datuk Christina Liew bagi kerusi DUN Api-Api; Timbalan Pengerusi PKR, Mustapha Sakmud (Tempasuk); Ketua Pemuda PKR, Raymond Ahuar (Sook); Sazalye Donol Abdullah (Matunggong); Abdul Rahman Md Yakub (Klias).

Dua muka baharu iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil dan Petu Galim (Inanam).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PKR memenangi dua daripada lapan kerusi DUN yang ditandingi iaitu Api-Api dan Inanam.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button