Politik

Anwar kembali ke Ibu Pejabat UMNO buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual kembali ke ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn untuk mempengerusikan mesyuarat sulung Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijangka tiba pada pukul 8.30 malam, jurucakap sekretariat mengesahkan.

Perdana Menteri Ke-10 itu dipercayai tidak menjejakkan kaki ke bangunan itu selama 25 tahun selepas dipecat daripada UMNO pada 3 September 1998 dan seterusnya membentuk PKR sekarang, yang berusaha melakukan reformasi.

Mesyuarat itu akan turut dihadiri pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin parti lain di bawah Kerajaan Perpaduan seperti PH, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan.

Zahid yang juga pengerusi BN berkata, mesyuarat malam ini akan membincangkan pelaksanaan manifesto mereka atau ikrar parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata perbincangan juga akan berkisar kepada mencari titik persamaan agenda rakyat dalam manifesto parti gabungan.

“Kita mungkin membincangkan beberapa agenda lagi untuk mengukuhkan kerajaan, bukan sahaja dari segi politik tetapi juga agenda rakyat berdasarkan manifesto atau ikrar mana-mana pihak.

“Adalah penting kita mencari titik persamaan untuk dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Zahid berkata demikian selepas menghadiri taklimat di Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai platform untuk menyatukan 148 anggota parlimen (MP) kerajaan bagi meningkatkan kekuatan pentadbiran sedia ada.

“Kita mahu melihat penyatuan kesemua 148 ahli parlimen dalam kerajaan perpaduan khususnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini kerana kali terakhir kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga adalah sejak Pilihan Raya Umum ke-11,” tambahnya.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, Zahid mengumumkan penubuhan sekretariat dengan parti politik dalam kerajaan perpaduan dan ia akan berpusat di Menara Dato Onn.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai sekretariat itu yang fungsinya termasuk memastikan jangka hayat Kerajaan Perpaduan yang telah dipersetujui semua parti.

Zahid juga berkata, sekretariat akan mengadakan perbincangan secara berkala mengenai kemajuan dan hala tuju kerajaan serta kerjasama politik. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button