Politik

Anwar jangan jadi penghasut – Razali

Gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak semua Ahli Parlimen menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong membatalkan Pengisytiharan Darurat dan membolehkan persidangan Parlimen diadakan dengan kadar segera adalah satu tindakan politik “desperado”.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan mendesak semua Ahli Parlimen menulis surat kepada Ketua Negara dilihat sebagai satu usaha sangat terdesak Anwar untuk menjejaskan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Tindakan terdesak Ketua Pembangkang itu, katanya, mungkin tidak seolah-olah  “merancang” tetapi tindakan itu dilihat sebagai satu kepentingan sendiri yang kononnya Parlimen tidak bersidang telah mencacat-celakan prinsip Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan itu sendiri.

“Politik “desperado” Ketua Pembangkang tidak lagi boleh diguna pakai kerana rakyat telah mengetahui akan helah politik sebegini kerana umum sudah mengetahui tujuan-tujuan Proklamasi Darurat adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara secara menyeluruh.

“Bentuk hasutan yang digerakkan sebegini akan merosakkan minda rakyat terutama generasi muda dan rakyat tidak mudah termakan akan dakyah politik “desperado” Ketua Pembangkang yang acap kali mengutarakan mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, tetapi tidak sebaliknya. Janganlah jadi penghasut bersiri,” katanya.

Persoalan sekarang, kata beliau, kenapa Ketua Pembangkang sewaktu dulu masa berada dalam kerajaan memerintah tidak betul-betul membantu rakyat dan sekarangnya konon sibuk berjuang demi rakyat dan negara.

“Dalam keadaan yang tidak menentu sekarang adalah lebih baik semua Ahli Parlimen meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang prihatin dan turun ke padang bersama-sama membantu keluh kesah dan nadi denyut rakyat yang sangat memerlukan sokongan moral, motivasi dan segala bantuan yang dipohon,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button